sukan

Kedudukan Misbun goyah, pemain harapan tumbang

Kedudukan Datuk Misbun Sidek selaku Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) semakin bahaya.

Ini selepas ‘ayam tambatannya’ yang juga pilihan kedua, Eogene Ewe gagal meneruskan kemaraan ke pusingan keempat perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, hari ini.

Eugene terpaksa akur apabila tewas di tangan wakil China, Zhang Zhijie 18-21, 8-21 pada aksi pusingan ketiga yang berlangsung di Dewan Sukan Among Rogo.

Misbun kini bergantung harap kepada wakil tunggal perseorangan lelaki, Muhammad Faiq Haziq yang berjaya mara ke pusigan keempat selepas mengetepikan cabaran Ramos Robert Ishmael dari Filipina 21-12, 21-13.

Pilihan ketujuh kejohanan itu akan berdepan Zhang Ning dari China bagi perebuta tiket ke suku akhir.

Misbun turut mempunyai talian hayat menerusi acara perseorangan wanita selepas tiga wakil negara iaitu Ong Xin Yee, Ung Yi Xing dan Siti Zulaikha Azmi berjaya meloloskan diri ke pusingan keempat.

Xin Yee yang diletakkan sebagai pilihan kelapan mara dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi wakil Vietnam, Tran Thi Anh 18-21, 21-10, 21-17 sekali gus menempah pertemuan dengan pemain Indonesia, Ruzana Ruzana.

Sementara itu, Yi Xing pula mengatasi pemain Thailand, Saranporn Sombutwatthananukool 21-19, 19-21, 21-16 manakala Siti Zulaikha menundukkan Azzahra Melani Arjisetya dari Indonesia 21-13, 21-19.

sumber:- BH

Yi Xing akan bertemu pilihan utama dari Jepun, Tomoka Miyazaki manakala Zulaikha berdepan Sirada Roongpiboonsopit dari Thailand.