sukan

Saya akan teruskan — Goh v Shem

Meskipun usianya semakin meningkat, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem belum berhasrat untuk bersara daripada arena badminton.

Malah, pemain beregu lelaki berusia 34 tahun itu tekad untuk terus mendorong diri selagi kudratnya mengizinkan beraksi di gelanggang.

“Kalau boleh main dan jika ada penaja saya akan teruskan, lagipun badminton hobi saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Kebangsaan 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Terdahulu, V Shem yang membentuk gandingan baharu bersama Nur Mohd Azriyn Ayub, disingkirkan pada pusingan kedua oleh Chia Wei Jie-Liew Xun daripada Persatuan Badminton Malaysia 16-21, 7-21.

Dia turut mengesahkan tidak lagi bergandingan dengan rakan beregunya Lim Khim Wah namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Kami sudah menarik diri daripada Terbuka Korea (18-23 Julai) dan Terbuka Australia (1-6 Ogos),” katanya.Kali terakhir mereka bergandingan pada bulan lalu apabila beregu itu kecundang pada pusingan pertama Terbuka Taiwan di tangan beregu tuan rumah Chen Zhi Ray-Lu Chen 17-21, 14-21.

Justeru pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berharap dia akan segera mendapat rakan beregu yang serasi sebelum kembali ke gelanggang.

“Susah untuk mendapatkan pasangan beregu terutama dalam kalangan pemain profesional kerana mereka sudah ada pasangan masing-masing,” katanya.

sumber:- BH

V Shem bersama pasangannya ketika itu Tan Wee Kiong hampir memenangi pingat emas pertama Olimpik buat Malaysia di Brazil sebelum tumpas kepada beregu China, Fu Haifeng-Zhang Nan 21-16, 11-21, 21-23 di final. – BERNAMA