Pengurusan Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengumumkan Rafael Silva dari Brazil selaku penyerang import baharu pada jendela perpindahan kedua pemain.
Menerusi hantaran Facebook rasmi Sri Pahang hari ini, kelab itu menandatangani khidmat pemain dari Brazil bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga m) musim ini.
“Pemain berusia 32 tahun dari Brazil ini didaftarkan pada jendela perpindahan kedua Liga M yang dibuka bermula hari ini dan bakal menjadi taruhan terbaharu Fandi Ahmad (ketua jurulatih) bagi memperkasa barisan serangan.
“Rafael membawa bersama pengalaman luas beraksi di pelbagai divisyen di negara kelahirannya, malah bola sepak Asia Tenggara juga bukanlah asing buatnya yang pernah mewakili beberapa kelab di Liga Indonesia.
“Selamat datang Rafael ke bumi Pahang, semoga dapat menyinar dan memenangi hati penyokong di Darul Makmur,” katanya.
Dengan kehadiran Silva, Kpah Sherman yang sebelum ini menjadi sandaran utama skuad Tok Gajah selaku penyerang tunggal akan bergandingan dengan Silva.
Gandingan dua penyerang import itu sudah pasti melegakan Fandi yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Sherman sebaik saingan Liga Super bermula.
Sementara itu, difahamkan, Sri Pahang bakal mengumumkan seorang lagi pemain import baharu yang akan menyarung jersi Tok Gajah dalam tempoh terdekat.
sumber:- HM
Sumber memaklumkan pemain yang bermain di bahagian tengah berasal dari Asia itu diyakini mampu memperkasakan jentera tengah yang dilihat kurang mantap termasuk masalah kecederaan.