sukan

‘Arkitek’ JDT akui tekanan Harimau Malaya

Pemain tengah kebangsaan, Mohamed Syamer Kutty Abba mengakui setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan, tekanan pastinya dirasai apatah lagi membawa segunung impian dan harapan buat peminat setia skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun jelas ‘arkitek’ Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, tekanan sebenarnya mampu menjadikannya lebih matang untuk terus memberikan persembahan bertenaga buat pasukan kebangsaan setiap kali membarisi skuad.

Tambah pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 26 tahun itu, sokongan padu daripada ribuan peminat setia juga mampu menghilangkan ‘darah gemuruhnya’ terutama beraksi di pentas antarabangsa dengan membawa nama negara Malaysia.

Pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Rabu lalu, Syamer bergandingan dengan Stuart Wilkin dan Endrick Dos Santos di barisan tengah.

“Sejujurnya setiap kali saya memakai jersi pasukan kebangsaan, ia adalah satu tekanan lebih-lebih lagi dalam misi membantu pasukan negara di peringkat antarabangsa, namun ianya perkara biasa.

“Lagipun saya jadikan tekanan itu sebagai pemangkin semangat untuk beraksi lebih baik setiap kali diberi tanggungjawab mengemudi jentera tengah pasukan,” kata Syamer.

Papua New Guinea berjaya mengikat Singapura 2-2 pada aksi persahabatan antarabangsa semalam, dan Syamer menegaskan kemampuan lawan di ranking ke-159 dunia tidak boleh diambil mudah.

“Dalam semua pertemuan, kita memang sasarkan untuk menang kerana ini adalah salah satu persediaan penting sebelum beraksi dalam Kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun depan.

“Jadi kami harus mengambil serius dalam setiap perlawanan termasuk perlu lebih fokus dengan mentaliti yang terbaik selain tidak mengambil mudah kemampuan pasukan lawan.

“Lagipun saya mempunyai misi yang tersendiri sejak kecil lagi untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan, kini impian itu sudah tercapai dengan 27 penampilan setakat ini dan berjaya menjaringkan satu gol, tapi saya tidak akan berhenti di sini sebaliknya terus berusaha untuk menambah kaps,” katanya.

sumber:- HM

Skuad kendalian Kim Pan-gon menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengatasi Papua New Guinea pada 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.