The Dancing Shoes’ Sedia Jadi Cikgu

Bintang import Terengganu FC (TFC) kelahiran Namibia, Petrus Shitembi menjelaskan dia sedia menjadi guru kepada pemain muda skuad Penyu itu.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, majoriti pemain muda berbakat yang membarisi skuad TFC menambahkan lagi keyakinannya untuk mencurah ilmu.

Kapten skuad Namibia itu menjelaskan dia tidak mahu kehadirannya dalam skuad kendalian Nafuzi Zain itu sebagai pelengkap kuota pemain import, sebaliknya bekas arkitek Sabah musim ini bertekad untuk membantu kejayaan dalam pentas Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC.

Katanya pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa bakal menjadi sandaran buatnya untuk memberikan persembahan terbaik serta menjadi tenaga pengajar sekali gus mampu menc@bar dirinya.

Ketika memulakan sesi latihan pada hari pertama Isnin lalu, saya lihat majoriti pemain TFC terdiri daripada pemain muda yang mempunyai masa depan yang cerah.

Jadi dengan kemasukan kami sebagai tonggak import sudah pasti saya begitu gembira untuk berkongsi pengalaman dengan barisan pemain muda berbakat ini selain menjadi platform terbaik untuk mencabar diri sendiri.

“Lagipun saya begitu teruja dapat mewakili kelab ini selain tidak sabar untuk menggembirakan para penyokong setia pasukan TFC, saya harap mampu lakukan yang terbaik,” kata Shitembi ketika ditemui selepas sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, kelmarin.

Pemain yang digelar ‘The Dancing Shoes’ itu yang bakal beraksi di posisi tengah adalah pemain import pertama diperkenalkan skuad TFC dengan kontrak selama setahun pada Isnin lalu.

Pemain kedua yang diperkenalkan ialah tonggak pertahanan berdarah campuran Filipina-Sepanyol, Carli De Murga juga dengan kontrak selama setahun.

Merekod 65 penampilan bersama pasukan negaranya sejak 2010, tonggak utama negaranya pada Piala Negara-Negara Afrika musim lalu itu adalah antara calon yang berpeluang cerah untuk memakai lilitan kapten bagi menggantikan Lee Tuck yang tidak disambung kontrak musim depan.

TFC berjaya menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga musim ini, saya lihat ia bukan secara kebetulan, jadi pasukan ini bagi saya adalah bagus.

Oleh sebab itu saya memilih skuad ini biarpun beberapa pasukan yang tidak perlu saya nyatakan juga berminat untuk mendapatkan khidmat saya, kata Shitembi yang akui gembira dengan suasana negeri di Pantai Timur itu.