TFC Berbelanja Sakan Beli Pemain

Wakil Malaysia dalam saingan Piala AFC musim depan, Terengganu FC (TFC) ‘memborong’ pemain baharu kelimanya apabila mengikat bekas kapten pasukan UKM FC, Asnan Ahmad untuk menyertai pasukan itu.

Sebelum ini skuad Penyu menyambar dua bintang muda Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Shahrul Nizam Ros Hasni, turut ‘dirantai’ pemain tengah Pahang, Faisal Abdul Halim dan pemain sayap UiTM FC, Muhamad Arif Mohamed Anwar bagi memperkasakan lagi pasukan itu.

TFC menjadi destinasi baharu buat Asnan Ahmad selepas sekian lama berkhidmat dengan bekas pasukannya UKM FC, pemain itu diikat kontrak selama setahun.

Selain beraksi di posisi pertahanan, pemain itu mampu bermain di posisi lain termasuk bahagian tengah bersesuaian dengan perwatakannya yang sentiasa positif dan tenang di Padang.

Jadi TFC menjadi landasan terbaik buat pemain berusia 27 tahun itu mengembangkan lagi kariernya dalam situasi baharu berbanding ketika beraksi dengan skuad The Varsity Boys.

Apa yang diharapkan kehadiran bekas tonggak UKM itu mampu memantapkan lagi jentera pasukan lebih-lebih lagi TFC bakal bersaing di pentas Asia selain mengharapkan dia dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukannya, demikian menurut kenyataan itu.

Sepanjang kariernya, Asnan berjaya membantu UKM mara ke final Piala Cabaran sebanyak dua kali iaitu pada 2018 dan musim lalu.

Jadi tidak hairanlah kelibat pemain itu turut diintai beberapa pasukan termasuk TFC dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan lebih-lebih lagi skuad UKM tidak menyertai Liga M musim depan.