Teka – Teki Akhirnya Terjawab

Teka teki mengenai siapa bakal mengisi tempat Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terjawab selepas badan induk itu mengesahkan bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dilantik memegang jawatan itu.

Perkembangan berkenaan diumumkan badan induk itu dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook rasmi miliknya sebentar tadi, dengan pelantikan bagi menggantikan Peter de Roo, berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Sebelum ini, bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah pada era 1990-an itu memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Teknikal FAM merangkap Ketua Unit Belia FAM.

Dengan pengalaman luas beliau sebagai pemain dan jurulatih di pelbagai peringkat, Kim Swee yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), dilihat sebagai calon terbaik bagi mengisi jawatan terbabit.

Sebagai rekod, Kim Swee memulakan karier kejurulatihannya dengan menjadi ketua jurulatih Melaka, sebelum namanya melonjak sebagai jurulatih yang berjaya mencngkil bakat muda negara bermula sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan seterusnya menjadi peneraju utama skuad Harimau Muda.

Kemuncaknya, Kim Swee berjaya membawa skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) negara meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia disusuli pingat perak Sukan SEA 2017 di laman sendiri.

Selain itu, Kim Swee selain turut mengemudi pasukan muda negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di China dan layak ke peringkat kalah mat! Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Beliau turut pernah dilantik sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan sebanyak dua kali iaitu dari 3 Februari 2014 hingga 28 Jun 2014 selepas kontrak Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat dan dari 5 September 2015 hingga 18 Januari 2016 selepas Dollah Salleh meletak jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

sumber : BH

Kim Swee kemudian akhirnya dilantik secara penuh sebagai ketua jurulatih kebangsaan dari 18 Januari 2016 hingga 25 Mac 2017 dan selepas itu, diamanahkan pula untuk mengendalikan skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan SEA 2017.