Tak Dapat Jawab Kenapa Ada Pemain Bencikan Saya

Bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof hari ini mengumumkan persaraan daripada sukan bola sepak Profesional pada usia 30 tahun. Beliau telah mewakili 7 pasukan yang berbeza sejak 2008 bermula dengan pasukan Kuala Lumpur.

Sepanjang dalam karier bolasepaknya, beliau tidak pernah mewakili skuad kebangsaan. Antara pencapaian terbaiknya ialah menjuarai Piala FA (2019) dan Piala Malaysia (2016) bersama skuad Kedah serta juara Liga Premier (2017) bersama skuad Kuala Lumpur.


Pemain pertahanan kiri itu membuat keputusan tersebut kerana ingin menumpukan perhatian pada bidang perniagaan dan pembinaan pusat pengajian Al-Quran di kampungnya.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan seluruh peminat bolasepak Malaysia yang selama ini menyokong saya secara langsung atau pun tidak secara langsung.

“Saya minta maaf kepada semua kerana tidak dapat meneruskan lagi ‘ harapan ‘ kalian. Ini adalah keputusan yang berat tetapi saya yakin dengan keputusan ini selepas saya berbincang dengan Tuan Guru Syeikh Muhd Zainol Asri dan Ustaz Moqti,” katanya melalui kenyataan rasmi di laman facebook.

Malah, beliau juga turut memohon maaf kepada mana-mana pemain yang pernah men3ntangnya ketika berada di atas padang.

Kepada pemain-pemain yang membenci saya, saya minta ampun minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Sampai sekarang saya tak dapat jawapan kenapa kalian begitu bencikan saya.

“Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk kalian. Apa jua yang berlaku kita tetap adik beradik, kita tetap saudara sesama islam. Semoga kita bertemu di syurga kelak. In syaa Allah,” katanya.

Bulan jun lepas, Azmeer turut mengejutkan para peminat bola sepak tanah air apabila mengumumkan keputusan untuk keluar daripada pasukan Kedah ketika saingan Liga Super masih mempunyai baki 7 perlawanan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pengundurannya itu tiada kaitan dengan masalah tunggakan gaji yang melibatkan skuad Helang Merah ketika itu dan turut memohon maaf kepada semua penyokong diatas tindakannya.