Saya bukan bintang

Biarpun memiliki reputasi sebagai striker di kelab Eropah namun Luqman Hakim Shamsudin tidak membawa status itu ketika menyertai latihan pusat pertamanya bersama skuad Malaysia.

Luqman, 19, lebih suka dilihat sebagai pemain muda yang dahagakan pengalaman sambil menyifatkan dia anggota paling
kurang pengalaman berbanding senior lain.

Pemain kelahiran Kota Bharu itu berkata, dia hanya mahu memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan kebangsaan dan menyerahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menilai prestasinya.

Sudah tentu ada perbezaan ketara bermain bawah 19 tahun dan terus beraksi bersama skuad kebangsaan.

Namun, saya beruntung kerana sebelum ini menjalani latihan dengan skuad senior KV Kortrijk, jadi dapat sesuaikan diri dengan pemain senior atau yang lebih tua kerana pasukan senior ini bermain dengan pantas.

“Begitupun umur tidak menjadi masalah walaupun muda kerana semua terpulang kepada jurulatih. Kematangan dan kemampuan yang penting,” katanya semalam.

Ketika ditanya mengenai rahsia perubahan ketara bentuk fzikal selepas lapan bulan bersama kelab Belgium, Luqman mengakui selain sesi latihan, pemakanan memainkan peranan penting.

Dalam perkembangan lain, berkaitan namanya kemungkinan disenaraikan beraksi bersama skuad bawah 19 tahun untuk ke Sukan SEA Hanoi, November nanti, Luqman berkata perkara itu perlu ada perbincangan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengurusan KV Kortrijk.

“Sukan SEA nanti berlangsung ketika saingan liga Belgium baru tiga bulan berjalan, tambahan temasya itu tiada dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sekali gus FAM perlu berhubung dengan pengurusan KV Kortrijk untuk dapatkan pelepasan,” jelasnya.