Satu Kerugian besar untuk JDT

Penarikan diri Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan larangan kerajaan yang tidak membenarkan mereka ke Doha bagi meneruskan baki kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL), sememangnya kerugian besar buat skuad JDT.

Tatkala saingan kompetitif tempatan sudah berakhir, aksi peringkat tertinggi Asia itu sepatutnya menjadi medan pendedahan terbaik buat pemain, apatah lagi mereka masih memiliki empat perlawanan peringkat kumpulan.

Bukan setakat kehilangan medan menguji pasukan terbaik Asia, namun perkembangan itu turut memberi impak kewangan kepada pasukan itu memandangkan mereka terlepas peluang mengaut keuntungan daripada perlawanan ACL.

Ketika JDT tidak dapat menghabiskan baki empat lagi perlawanan, mereka terlepas peluang merebut sekurang-kurangnya AS$200,000 (RM842,000) daripada hadiah kemenangan yang ditawarkan menerusi empat perlawanan terbabit.

Bagaimanapun, mereka setidak-tidaknya boleh tersenyum sedikit kerana sudah membawa pulang AS$50,000 (RM206,000) daripada saingan itu musim ini susulan kejayaan mereka menundukkan Suwon Bluewings 2-1 di laman sendiri pada Mac lalu.

JDT terlepas peluang menerima hadiah kemenangan seterusnya kerana sudah menarik diri, namun hadiah kemenangan sebelum ini sudah pun diterima.

Pemain kebangsaan di JDT juga terlepas peluang menimba pengalaman bermain dengan pemain terkemuka Asia, kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John.

Musim lalu, JDT berjaya membawa pulang AS$60,000 (RM247,000) selepas menewaskan juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 di laman sendiri dan kejayaan mengikat kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC 1-1.

Sebagai rekod, setiap pasukan akan mendapat AS$50,000 (RM206,000) daripada setiap kemenangan di peringkat kumpulan, sementara keputusan seri membolehkan mereka mendapat AS$10,000 (RM41,200) tidak termasuk subsidi setiap perjalanan berjumlah AS$60,000 (RM247,000).

Pasukan yang layak ke pusingan 16 terbaik akan memperoleh AS$100,000 (RM412,000) sementara suku akhir akan memberikan hadiah penyertaan sebanyak AS$150,000 (RM619,000).

Pasukan yang mara ke separuh akhir pula akan menerima AS$250,000 (RM1.03 juta) manakala naib juara akan mendapat AS$2 juta (RM8.25 juta) dan AS$4 juta (RM16.5 juta) pula akan dibawa pulang juara.

Hadiah kemenangan ACL

Peringkat awal

Tiada hadiah kemenangan

Subsidi perjalanan – AS$40,000 (RM165,000)

Peringkat play-off

Tiada hadiah kemenangan

Subsidi perjalanan – AS$40,000 (RM165,000)

Peringkat kumpulan

Menang – AS$50,000 (RM206,000)

Seri – AS$10,000 (RM41,200)

Subsidi perjalanan – AS$60,000 (RM247,000)

Peringkat 16 terbaik

AS$100,000 (RM412,000)

Subsidi perjalanan – AS$60,000 (RM247,000)

Suku akhir

AS$150,000 (RM619,000)

Subsidi perjalanan AS$60,000 – (RM247,000)

Separuh akhir

AS$250,000 (RM1.03 juta)

Subsidi perjalanan AS$60,000 – (RM247,000)

Final

Juara – AS$4 juta (RM16.5 juta)

Naib juara – AS$2 juta (RM8.25 juta)

Subsidi perjalanan – AS$120,000 (RM495,000)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *