Safawi Pemain ‘Next Level’

BIARPUN tidak berpeluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Liga Primeira Portugal, Portimonense SC, pemain Kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid diyakini masih mampu bangk!t dan mempamerkan kehebatannya seperti sebelum ini.

Penganalisis bola sepak yang juga bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, sebagai seorang pemain yang berkaliber dan memiliki kemampuan yang tinggi di negara ini, Safawi dilihat tidak berdepan masalah terhadap perkara itu.

Malah menurutnya, kelibat Safawi kali ini pasti akan lebih menyerlah berbanding dahulu, apatah lagi setelah melalui pengalaman berlatih di luar negara.

Dari segi kemampuan, saya rasa dia (Safawi) seorang pemain yang berkaliber, lagi pun tempoh masa dia berada di Portugal pun tak lama.

Bagi saya, sentuhannya di bumi Malaysia ini masih ada dan akan lebih ‘menyerlah’ berbanding dahulu kerana dia telah mengikuti program latihan yang agak berbeza.

“Oleh itu, segala pengalamannya ketika berada di Portugal, boleh dikongsikan bersama rakan-rakan sepasukan mungkin dari segi penambahbaikan latihan dan sebagainya,” katanya pada Selasa.

Terdahulu, Safawi yang dipinjamkan ke Portimonense SC selama semusim difahamkan telah pulang ke tanah air lebih awal berbanding tempoh ‘pinjaman’ berkenaan dan kini bersedia untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula Februari depan.

Selama tiga bulan di Portugal, Safawi yang juga pemenang bagi Anugerah Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 itu dilihat masih belum berjaya melakukan debut bersama skuad utama Portimonense SC, tetapi sebaliknya hanya sempat beraksi dengan skuad bawah 23 tahun berdepan Sporting CP.

Pemain berusia 23 tahun itu juga hanya meman@skan bangku simpanan dalam aksi Liga Primeira termasuk perlawanan pusingan ketiga Piala Portugal.

Sementara itu mengulas mengenai Safawi yang tidak sempat melakukan debut bersama skuad utama Portimonense SC, Azlan berkata, aksi pemain berkenaan bersama skuad bawah 23 kelab itu juga boleh dilihat sebagai satu pengalaman yang cukup berharga.

Katanya, biarpun hanya sempat beraksi bersama skuad berkenaan, ia satu permulaan yang baik buat Safawi mendapat pendedahan awal beraksi di Eropah.

Bagi saya, perkara itu dilihat sebagai pendedahan awal untuk dia memahami mengenai bola sepak di Eropah dalam usahanya membuat persediaan pada masa hadapan.