RM 4.9 juta dalam 45 hari

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membayar AS$1.2 juta (kira-kira RM4.9 juta) kepada bekas pemainnya, Mohamadou Sumareh.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam ketika dihubungi menjelaskan pihaknya menerima salinan keputusan itu yang dihantar FIFA kepada PBNP pada dua hari lalu.

Beliau berkata, PBNP perlu menjelaskan bayaran itu dalam tempoh 45 hari bagi mengelak dikenakan hukuman tidak boleh mengikat pemain baharu pada jendela perpindahan akan datang.

Mereka ada 45 hari bukan dari tarikh keputusan, tapi pihak Sumareh kena keluarkan notis butiran akaun bank kepada Pahang, selepas itu baru 45 hari itu bermula.

Sekiranya pasukan Pahang tak bayar dalam masa 45 hari, automatik ‘transfer ban’ (tidak boleh ambil pemain baharu) untuk jendela perpindahan akan datang. Mungkin jendela perpindahan kedua tahun ini.

Selepas itu, jika masih tidak bayar perkara itu akan dibawa ke bahagian tatatertib FIFA. Saya ada juga baca mengenai hukuman tolak mata, tapi keputusan tolak mata itu hanya selepas ia ke tatatertib.

Tapi pada masa yang sama perkara ini buat rayuan mengikut beberapa langkah iaitu dalam tempoh 10 hari daripada notis keputusan, pihak Pahang kena minta terma-terma keputusan.

“Selepas itu Pahang boleh buat rayuan ke CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan). Bagaimanapun, jika tidak meminta ‘grounds of decision’, FIFA menganggap PBNP setuju dengan keputusan dan tidak boleh dirayu,” katanya.

Berdasarkan laporan, jumlah AS$1.2 juta yang diumumkan FIFA adalah jumlah hutang dalam tahunan ditambah pula dengan pelanggaran kontrak untuk musim 2020 dan 2021