Real, Barca dan Liverpool berapa Ramai pemain tempatan – Zamsaham

Khidmat anak tempatan jelas memperkasa cabaran Kelantan FC selepas mereka dibarisi 90 peratus anak ‘Kelate’ bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menerusi perkongsian daripada pemilik pasukan, Norizam Tukiman di laman Facebook Zamsaham, skuad The Red Warri0rs itu jelas percaya kepada kemampuan anak Kelantan dalam misi mereka untuk mara ke Liga Super musim 2022.

Meeting malam ni #TheRedWarri0rs Kelantan FC. Pemain paling ramai adalah anak jati Kelantan 90 peratus.

“Nak tanya pasukan ternama dunia seperti Real Madrid, Barcelona hatta Liverpool berapa ramai pemain tempatan?,” kata Norizam.

Dalam hantaran sama, Norizam turut berkongsi pecahan pemain tempatan yang menyaksikan 31 pemain bakal beraksi bersama jaguh Pantai Timur itu musim depan.

Daripada 31 pemain, 20 pemain berasal dari Kelantan manakala tiga lagi pemain direkrut dari Kuala Lumpur, Perak dan ‘jiran’ mereka, Terengganu.

Selain itu, Kelantan FC juga diperkuat dengan seorang pemain Johor dan Pulau Pinang.

Sebagai rekod, Kelantan menamatkan saingan Liga Perdana 2020 di tangga keenam menerusi lima kemenangan dan tiga keputusan seri untuk menghimpun 15 mata.

Mereka juga layak beraksi di Piala Malaysia musim lalu namun tersingkir seawal pusingan pertama apabila tewas 3-2 di tangan pasukan Liga Super, UiTM FC sebelum Piala Malaysia terpaksa dibatalkan.