Ibu Bapa Antara Faktor

BEKAS pemain skuad Bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan, Syahrul Azwari Ibrahim tekad untuk membantu Kelantan United FC (KUFC) berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Premier 2021 yang bermula 28 Februari ini.

Pemain kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu mengakui teruja untuk kembali menabur bakti bersama negeri kelahirannya dan mendedahkan kurangnya peluang beraksi sewaktu bersama Kedah pada musim lalu menjadi faktor utama beliau bersetuju menyertai pasukan berkenaan.

Pemain berusia 27 tahun itu memaklumkan, keputusan kembali ke Kelantan turut didorong faktor tanggungjawab untuk menjaga ibu bapanya setelah jarang dapat pulang ke kampung halamannya disebabkan berkelana ke beberapa pasukan termasuk Kedah, Melaka dan Johor Darul Ta’zim II.

“Pengurusan Kelantan United juga membuatkan saya percaya mereka sememangnya sentiasa membantu pemain termasuk saya, dan melihat kepada pelan jangka panjang mereka, saya tahu saya boleh melakukan terbaik untuk pasukan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia pada Selasa.

Dalam pada itu, Syahrul Azwari mengakui tidak sabar untuk beraksi bersama dengan dua pemain berpengalaman, Mohd Fitri Omar selain bekas pemain tengah kebangsaan Mohd Badhri Radzi yang sah menyarung jersi KUFC pada musim ini.

KUFC menamatkan saingan Liga Premier pada musim lalu di tangga kelapan daripada 12 pasukan menerusi kutipan 12 mata daripada 11 perlawanan (empat kemenangan dan tujuh kekalahan).

Pasukan berkenaan sah dibimbing bekas jurulatih Kuching City FC, Akira Higashiyama dari Jepun pada musim ini. – Bernama