Bayangan Status Bersama Kedah Musim Depan

Pertukaran status pasukan daripada persatuan (FA) kepada kelab (FC) memberi keyakinan kepada pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak, bahawa masalah tunggakan gaji yang pernah dilalui tidak akan berulang lagi.

Ketika saingan musim ini hanya berbaki satu perlawanan lagi,  jurulatih kelahiran Singapura itu berkongsi pandangannya kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, tentang bayangan untuk dia terus mengemudi skuad Lang Merah musim depan.

Kedah pernah menghadapi masalah tunggakan gaji selama lima bulan sebelum ini, namun Aidil memuji usaha keras barisan pengurusan bertungkus lumus mencari penyelesaian terbaik.

Selain itu, kejayaan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melengkapkan proses penswastaan dan pelesenan kebangsaan serta pelesenan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) juga mampu membina keyakinan Aidil terhadap barisan pengurusan baru tahun depan.

Jurulatih itu seolah-olah sudah mempunyai kata putus namun belum bersedia untuk mengumumkannya secara rasmi untuk memberi fokus dalam baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Saya percaya (pengurusan baru) akan bertambah baik, kami perlu berikan mereka ruang untuk melakukan perkara dengan baik. 

Mengapa tidak (akan kekal)? Saya sayangkan Kedah. Insya-Allah keputusannya akan diketahui sedikit masa lagi, katanya selepas perlawanan malam tadi. 

Kedah, yang mempertaruhkan khidmat pemain muda, berjaya meraih mata penuh dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras,  lantas Aidil berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, menyifatkan barisan anak buahnya sebagai lambat panas yang menjadi faktor kekalahan kedua berturut-turut mereka.

Kegagalan yang harus tekankan kepada pemain ialah peluang-peluang keemasan yang mereka peroleh. 

Mereka tidak berputus asas mencipta peluang tetapi dalam bola sepak, tidak kira betapa cantik aksi anda — ia sesuatu yang baik tetapi menjaringkan gol amatlah penting. 

Hari ini kami gagal meletakkan bola ke dalam gawang walaupun mendapat peluang-peluang terbuka, katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *