Apa ada pada rekod

Rekod tujuh kemenangan Kedah ke atas Sabah dalam saingan Liga Malaysia sebelum ini tidak memberi kelebihan kepada KDA FC ketika melayani kunjungan skuad dari Negeri Di Bawah Bayu itu di Stadium Darul Aman, di sini malam ini.

Menurut pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak, kedudukan Sabah pada tahun lalu yang hampir tergelincir ke saingan Liga Perdana juga tidak boleh dijadikan sandaran buat anak-anak buahnya bermain secara sambil lewa di gelanggang sendiri.

Rekod lalu tidak membawa sebarang makna ketika saingan musim baharu bermula. Apatah lagi kami akan berdepan mereka dalam keadaan beberapa pemain utama masih c3dera.

Penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim serta Syazwan Tajudin sah tidak dapat diturunkan akibat kec3deraan ketika bertemu JDT minggu lalu, sementara Renan Alves juga masih belum boleh pasti boleh bermain atau tidak, katanya semalam.

Katanya, sehingga kini kemampuan dimiliki Sabah kendalian jurulatih berasal dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto masih belum diketahui sepenuhnya setelah dilihat membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim ini.

“Saya tiada maklumat mengenai kemampuan mereka. Apa pun, kami akan memberikan yang terbaik untuk mencari mata sulung dalam Liga Super musim ini,” katanya.

Sementara itu, Aidil berkata, kekalahan kepada JDT pada minggu lalu perlu segera dilupakan anak-anak buahnya menjelang perlawanan malam ini.

“Apa yang lebih penting adalah kami memberi fokus 100 peratus terhadap perlawanan tersebut,” katanya.