AFC sahkan Nasib JDT

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan wakil tunggal negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menarik diri daripada saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) di Doha musim ini.

Perkembangan itu disahkan badan induk bola sepak Asia itu menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menerusi kenyataan terbabit, AFC menjelaskan pihaknya sudah dimaklumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa JDT yang juga ahli gabungan FAM menarik diri daripada saingan berprestij Asia itu.

Pasukan itu menyatakan mereka tidak boleh terbang ke Qatar untuk bertanding bagi saingan Zon Timur ACL yang dijadual bermula 18 November ini.

Berdasarkan Artikel 6.1 dan 6.2.1 Peraturan Pertandingan ACL 2020, semua perlawanan membabitkan JDT dibatalkan dan tidak akan dikira.

Bagi mengelakkan sebarang kesangsian, semua mata dan jaringan dalam perlawanan terbabit tidak akan diambil kira bagi menentukan kedudukan akhir peringkat kumpulan.

Susulan itu, hanya tiga pasukan akan bertanding dalam Kumpulan G ACL 2020, kata AFC.

Sebagai rekod, tiga pasukan lain dalam Kumpulan G adalah Vissel Kobe, Guangzhou Evergrande dan Suwon Bluewings.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *