Abou Bakr Al-Mel Kembali

Pasukan UiTM FC semakin hampir untuk mendapatkan khidmat striker skuad kebangsaan Lubnan, Abou Bakr Al-Mel bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T.Avineshwaran dimana selain semakin hampir mendapatkan khidmat Abou Bakr, UiTM juga bakal mendapat khidmat striker dari Ghana, Nana Poku.

Abou Bakr mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia selain menjadi sebutan ketika beliau menyarung jersi pasukan Kelantan pada musim 2017 lalu.

Beliau menjadi sebutan bukan kerana prestasi di atas padang sebaliknya kerana tunggakan gaji pemain tersebut yang baru-baru ini berjaya diselesaikan oleh pasukan Kelantan setelah tertunggak selama tiga tahun.

Kelantan FC menerusi Penasihat Undang-Undang pasukan, Shairuz Sheffie berkata sejumlah RM969,283 sudah dibayar kepada pemain itu, dalam dua kali pembayaran iaitu pada 15 Oktober dan 17 Disember lepas.

Selain melunaskan hutang kepada Abou Bakr Al-Mel, Kelantan turut menyelesaikan hutang terhadap seorang lagi bekas pemain import, Cassio De Jesus dan bekas ketua jurulatih pasukan, Mario Kraljevic.

UiTM kehilangan beberapa pemain tonggak yang beraksi bersama pasukan musim 2020 dimana Rabih Ataya telah menyertai pasukan Kedah manakala Gustavo Almeida bakal menyertai pasukan dari selatan tanah air.