Sukan

Memang betul menyakitkan — Kim Pan Gon

Kemenangan yang hampir berada dalam dakapan tetapi lebur di minit akhir sememangnya satu kenyataan yang begitu menyakitkan namun bagi pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon, tiada apa yang perlu diratapi.

Ini kerana pengendali dari Korea Selatan itu lebih gembira melihat semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya sejak perlawanan bermula sekali gus berbangga dengan kejayaan mengesahkan tiket ke final Piala Raja Thailand 2022.

Malah, anak buahnya juga seakan tidak terkesan dengan faktor luaran sekalipun beraksi dengan sorakan gemuruh penyokong lawan yang memberi suntikan tambahan kepada skuad Gajah Perang di Stadium Chiang Mai itu.

Memang betul (menyakitkan dibolosi saat akhir) tetapi perkara itu sudah terjadi. Sepanjang karier saya sebagai jurulatih, saya sudah banyak kali berdepan situasi sama seperti ini.

Apa yang saya mahu adalah pemain tetap menunjukkan komitmen dan kesungguhan serta keyakinan di atas padang. Saya percaya pemain saya kuat untuk menghadapi cabaran ini dan mereka menunjukkan persembahan yang hebat.

“Mentaliti yang kuat diperagakan walaupun beraksi di tempat lawan dan akhirnya, kami mendapat keputusan yang positif hasil sumbangan daripada pemain. Terima kasih untuk mereka,” katanya.

Pada aksi terbabit, jaringan menerusi sentuhan akhir Pansa Hemviboon menyaksikan Malaysia terlepas untuk mendapatkan mata kemenangan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila seri 1-1 dengan Thailand.

Namun skuad negara berjaya mengaibkan Thailand di ‘kandang’ sendiri selepas mara ke final Piala Raja Thailand 2022 hasil kemenangan 5-3 menerusi sepakan penalti penentuan selepas tiada masa tambahan bagi aksi terbabit.

sumber:- BH

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia akan berdepan pasukan di tangga ke-109 dunia, Tajikistan pada aksi final di venue sama, malam esok (Ahad).