Sukan

Pandangan itu diluahkan pemain tengah negara

Tiga tonggak senior yang dilantik sebagai ketua pasukan bakal menghidupkan suasana positif dan keharmonian dalam skuad Harimau Malaya ketika ini.

Pandangan itu diluahkan pemain tengah negara, Mukhairi Ajmal Mahadi yang mengakui kepimpinan tiga tonggak iaitu Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Dion Cools akan melonjakkan lagi prestasi pasukan.

Kata arkitek tengah berusia 20 tahun itu, siapa sahaja yang diberi amanah memegang lilitan di lengan pastinya akan menjalankan tanggungjawab sebaiknya, dan menjadi tugas pemain lain untuk menghormati ketua pasukan di atas padang nanti.

Secara peribadi, Syafiq dan Safawi sudah lama bersama pasukan kebangsaan, Cools pula beraksi di Eropah sudah lama dan miliki banyak pengalaman di sana.

“Saya anggap siapa sahaja yang dipilih bukan menjadi masalah dan kerana apa yang penting mereka membantu kita sebagai pemain muda meningkatkan prestasi bersama pasukan kebangsaan,” kata pemain Selangor FC itu.

Ujarnya ketua pasukan skuad bawah 23 (B-23) negara itu, dia sedia untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama menjelang aksi Piala Raja Thai men3ntang Thailand di Chiang Mai, Khamis ini.

Ini adalah peluang terbaik saya untuk membuktikan kemampuan kepada barisan kejurulatihan baharu selepas sering kali terlepas panggilan antarabangsa kerana fokus dengan skuad B-23 sebelum ini.

“Pada saya bukan sukar untuk mencipta keserasian kerana sebelum ini saya juga pernah bermain dengan mereka. Cuma, kami perlu faham dari segi taktikal dan perkara itu sering diberitahu setiap kali sesi perbincangan,” katanya.

sumber:- HM

Kali terakhir dia dipanggil bersama skuad kebangsaan adalah pada saingan Piala AFF di Singapura, hujung tahun lalu.