Sukan

Kerajaan negeri akhirnya buka mulut isu perpindahan Nafuzi

Kerajaan negeri belum menerima sebarang cadangan daripada pengurusan tertinggi Terengganu FC Sdn Bhd berhubung calon ketua jurulatih yang akan membimbing skuad Penyu musim depan.

Justeru, peluang untuk Nafuzi Zain kekal membimbing pasukan itu masih ada dan terbuka untuk rundingan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah.

Katanya, sebagai pihak berkepentingan dan ahli lembaga pengarah dalam organisasi itu, pihaknya sentiasa menilai dan memantau dari dekat perkembangan pasukan Terengganu FC (TFC).

Sebagai ahli lembaga pengarah, kami membuat keputusan (calon ketua jurulatih) berdasarkan cadangan daripada barisan pengurusan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Rasid Jusoh.

“Kita beri peluang dulu kepada pihak pengurusan untuk kemukakan apa-apa cadangan berserta justifikasi. Selepas itu kita akan bincang dan buat keputusan terbaik,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai calon ketua jurulatih TFC musim depan selepas Nafuzi memberi bayangan akan beralih angin ke destinasi baharu memandangkan tiada tawaran lanjutan kontrak daripada majikannya sekarang.

Wan Sukairi berkata jika dinilai pencapaian dan prestasi semasa, Nafuzi masih layak diberikan tugas membimbing pasukan hitam putih musim depan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa pihak pengurusan juga mempunyai perancangan terbaik untuk masa depan skuad Penyu.

Kejayaan membawa TFC ke pentas akhir Piala FA selepas 11 tahun adalah satu pencapaian besar dan itu adalah merit untuk beliau (Nafuzi) kekal di sini.

“Saya memahami kebimbangan penyokong bola sepak negeri tentang isu ini dan serahkan kepada pihak pengurusan untuk memberi justifikasi sebelum membuat keputusan,” katanya.

sumber:- BH

Wan Sukairi berkata beliau juga percaya bahawa pihak pengurusan telah mengambil kira risiko kemungkinan ramai pemain yang akan ‘angkat kaki’ meninggalkan TFC sekiranya skuad Penyu tidak lagi menggunakan khidmat Nafuzi sebagai ketua jurulatih.