Sukan

Rekod Ronaldo dipecahkan Messi

Lionel Messi mengatasi rekod Cristiano Ronaldo apabila menjaringkan gol ke atas kelab ke-39 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Juara Perancis, Paris Saint-Germain dikejutkan oleh gol awal Maccabi Haifa menerusi Tjaronn Chery pada minit ke-24.

Namun skuad kendalian Christophe Galtier menyamakan kedudukan lapan minit sebelum rehat menerusi Messi.

Pemain 35 tahun Argentina itu menolak masuk bola umpanan Kylian Mbappe.Ia adalah gol ke-126 Messi dalam saingan Liga Juara-Juara – kurang 14 jaringan di belakang Ronaldo yang meledak 140 gol.

Bagaimanapun bekas pemain Barcelona itu mengatasi Ronaldo dalam rekod jaringan ke atas kelab berbeza kejohanan berkenaan.

Ronaldo yang beraksi di Liga Europa bersama Manchester United musim ini, kekal dengan jaringan ke atas 38 kelab berbeza dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Ronaldo mungkin perlu menunggu setahun lagi untuk kembali beraksi di Liga Juara-Juara Eropah.

Ronaldo mengatasi Messi dalam jumlah kejuaraan. Dia menang lima kali – sekali bersama United pada tahun 2008 dan empat kali bersama Real Madrid pada tahun 2014, 2016, 2017 dan 2018.

Manakala Messi menjulang trofi itu sebanyak empat kali – pada tahun 2006, 2009, 2011 dan 2015 – ketika bersama Barcelona.

Hanya dua pemain itu menjaringan 100 gol atau lebih dalam kejohanan tertinggi Eropah berkenaan. Paling hampir adalah Robert Lewandowski yang meledak 89 gol dan Karim Benzema, 86 gol.

PSG menewaskan Maccabi Haifa 3-1 selepas anak buah Galtier bangkit di babak kedua.

sumber:- BH

Mbappe dan Neymar turut menemui sasaran dalam tempoh 25 minit terakhir untuk kemenangan kedua berturut-turut PSG dalam kempen kali ini. – AGENSI