Sukan

Dion Cools mula tunjuk belang bersama pasukan baharu

Tonggak pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools tidak menunggu lama untuk memberi impak kepada kelab baharunya, FK Jablonec.

Ia selepas pemain berusia 26 tahun itu menyumbang satu gol pada penampilan sulung bersama kelab Republik Czech itu dalam aksi pusingan kedua Piala Czech, semalam.

Cools yang disenaraikan dalam kesebelasan utama meledak gol pembukaan pada minit ke-17 dan membantu Jablonec meraih kemenangan 4-0 ke atas Motorlet di Stadium SK Motorlet.

Malah, persembahan cemerlang bekas FC Midtjylland itu turut mendapat pujian daripada ketua jurulatih Jablonec, David Horejs.

Pengendali berusia 45 tahun itu percaya Cools mempunyai kualiti yang baik apabila berjaya menyesuaikan diri dengan pasukan baharu dalam tempoh singkat.

Dia seorang pemain yang akan membawa kualiti kepada pasukan kami. Setakat ini dia bersama kami dalam satu sesi latihan dan berjaya membuktikan bahawa dia mempunyai kualiti.

“Saya percaya semakin lama dia bersama kami, dia akan lebih membiasakan diri dan membantu kami,” katanya di laman web rasmi kelab.

Cools sebelum ini dilapor berpisah dengan Midtjylland dengan dia juga dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT).

sumber:- BH

Penampilan bersama Jablonec memberikan minit permainan yang penting buat Cools selepas dia turut disenaraikan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk kejohanan Piala Raja Thai 2022, hujung bulan ini.