Sukan

Statistik JDT di SNBJ sedikit membimbangkan

Memetik bait-bait lirik daripada kumpulan Febians berjudul Penantian yang berbunyi ‘penantian satu penyeks@an’ – mungkin begitulah apa yang dirasai oleh dua finalis Piala FA yang akan berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Dua pasukan terbabit yang masing-masing bekas juara iaitu Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim sebelum ini hanya mampu ‘menelan’ air liur apabila melihat pasukan lain menjulang trofi terbabit.

Skuad Penyu terpaksa menunggu selama 11 tahun untuk kembali berentap di pentas final Piala FA selepas kali terakhir memenangi piala itu pada 2001 dengan menewaskan Kelantan 2-1 di venue sama.

Sama seperti skuad Harimau Selatan, selepas menjulang trofi buat julung kalinya pada 2016, mereka terpaksa menanti sehingga enam tahun sebelum sekali lagi berpeluang untuk mendakap piala itu buat kali kedua.

Justeru, penantian pasukan manakah yang akan terhenti sejurus wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan pada malam ini?

Ini adalah satu pertembungan yang menarik jika dilihat berdasarkan prestasi kedua-dua pasukan dalam saingan Piala FA sekali gus menjadi bukti ‘kelayakan’ mereka untuk bergelar finalis bagi edisi kali ini,

Lebih mengg3runkan sudah pastilah persembahan skuad bimbingan Hector Bidoglio – mereka tidak pernah ketinggalan walau seminit sekalipun dalam saingan Piala FA.

Anak buah Nafuzi Zain juga tidak kurang hebatnya di mana mereka hanya ketinggalan selama 25 minit – itupun pada aksi separuh akhir berdepan Selangor FC (SFC) yang berakhir dengan kemenangan buat TFC menerusi penentuan sepakan penalti.

Cuma venue perlawanan mungkin memberi sedikit petanda kurang baik buat JDT kerana kali terakhir mereka beraksi di pentas final Piala FA yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, mereka tewas 1-0 di tangan Kelantan pada edisi 2013.

Malah, mereka juga tumbang di tangan KL City FC pada aksi final Piala Malaysia yang juga berlangsung di venue sama, tahun lalu.

Lain pula halnya dengan TFC kerana kali terakhir mereka ‘hadir’ ke final di Bukit Jalil, mereka menjulang Piala FA apabila menundukkan seteru Pantai Timur, Kelantan dengan keputusan 2-1.

Apapun, faktor ini tidak harus diambil secara serius kerana ini lebih kepada sekadar untuk menghangatkan lagi perlawanan akhir malam ini – apa yang penting jika ditakdirkan untuk menang, beraksi di venue sekalipun tidak menjadi masalah.

Bercakap mengenai pasukan mana yang lebih ‘laparkan’ trofi, tiada pasukan yang beraksi di final sekadar mahu ‘bersiar-siar’ di atas padang dan mengharungi perlawanan sukar untuk dinobatkan sebagai naib juara.

Dengan pemenang Piala FA akan mendapat tiket ke pentas Asia musim depan, sudah tentu ini menjadi motivasi terbesar buat TFC.

Tetapi di sebalik ‘keberahian’ JDT untuk beraksi di Liga Juara-Juara menerusi tiket juara Liga Super, trofi ini pun sudah tentu menjadi rebutan mereka untuk menambah koleksi piala bagi memburu gelaran treble pada musim ini.

Namun setakat lapar sahaja dan hanya menunggu untuk ‘disuap’ – sudah tentu tidak akan kenyang jadi hasrat untuk bergelar juara itu perlu dibuktikan dengan aksi memukau di atas padang.

Harapan besar adalah aksi ini tidak bertukar menjadi ‘anti klimaks’ contohnya gol terlalu awal yang sudah pasti sedikit membvnuh keterujaan walaupun ini bukanlah satu kesalahan dalam ‘hukum kanun’ bola sepak.

sumber:- BH

Semoga kedua-dua pasukan mampu ‘menghidangkan’ aksi yang dapat membuatkan penyokong di stadium mahupun di rumah ‘melekat’ sehingga wisel penamat dibunyikan.