Sukan

Hodak tetap endah diri biarpun berjaya lakar sejarah bersama pasukan ‘kerdil’

Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak mengakui pasukannya melalui ‘detik mencabar’ sebelum meraih kejayaan dengan mengesahkan tempat ke final Antara Zon Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Hodak berkata, walaupun mengharungi penerbangan dalam tempoh cukup lama dengan persiapan agak terhad, anak buahnya mampu memberikan persembahan terbaik dengan menewaskan ATK Mohun Bagan 3-1, malam tadi.

Beliau berkata, persembahan dipamerkan barisan anak buahnya cukup membanggakan terutama meletakkan segala kekurangan di ‘tepi padang’ dengan menampilkan persembahan mantap bagi mengekang asakan lawan.

Sebenarnya tiada apa-apa rahsia di sebalik kemenangan KL pada perlawanan ini. Apa yang saya cakap kepada pasukan, mereka perlu beraksi dengan baik atau mereka akan menyesal di kemudian hari.

Jadi saya berasakan semua pemain melakukan tugas mereka dengan baik pada aksi ini, meskipun terdapat pelbagai halangan sebelum dan selepas kami sampai ke perlawanan ini.

“Mereka berjaya mengatasinya untuk memastikan cerita dongeng kami di pentas Piala AFC ini berterusan. Malah saya berasakan tiada tekanan yang diletakkan kepada kami menyebabkan pemain beraksi dengan baik,” katanya.

Terdahulu, KL City mencipta sejarah di pentas Piala AFC musim ini apabila berjaya mengesahkan tempat ke final Antara Zon selepas menewaskan ATK Mohun Bagan 3-1 di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata.

Dua gol pada masa kecederaan separuh masa kedua dijaringkan pemain gantian Fakhrul Aiman dan Romel Morales sudah cukup buat skuad bimbingan Hodak memastikan ATK Mohun berputih mata di laman sendiri.

Dalam pada itu, Hodak mengakui bakal berdepan tugas sukar pada perlawanan akhir antara Zon Piala AFC menentang wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada 6 Oktober ini.

Oleh itu, beliau dan pasukan cuba memberikan yang terbaik dalam misi mencipta satu lagi sejarah bola sepak tanah air.

Seperti kita tahu, pasukan dari Uzbekistan adalah antara pasukan terbaik di Asia. Jadinya, sudah tentu tentangan sengit bakal diberikan mereka kepada kami.

sumber:- HM

“Bagaimanapun kami akan cuba beri yang terbaik kerana kami mahu pergi lebih jauh dalam saingan ini,” katanya.