Pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva memasang impian membawa pasukan itu melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik walaupun sedar peluang itu berliku.

Ini berikutan lawan JDT pada aksi terakhir Kumpulan I adalah Ulsan Hyundai yang juga juara Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2021 yang turut mengintai slot ke pusingan seterussnya apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Sultan Ibrahim, petang esok.

Bagi Bergson, tiada perkara mustahil dalam bola sepak dan jika semua pemain memberi komitmen tinggi pada perlawanan itu nanti, tidak mustahil JDT akan mencipta kemenangan kedua ke atas skuad kendalian Hong Myung-bo.

Malah, pemain kelahiran Brazil itu yang sudah meledak enam gol sepanjang lima perlawanan lalu pada pentas ACL selain dinobat pemain terbaik pada tiga perlawanan pasti akan tampil lebih mantap bersama gandingan Fernando Forestieri untuk menggempur benteng Ulsan Hyundai.

Apabila beraksi bersama JDT ada perasaan dahagakan jaringan dan saya mahu teruskan momentum menjaringkan gol dan aksi menentang Ulsan Hyundai amat penting kerana kami berada di landasan tepat mara ke pusingan seterusnya.

“Hanya perlu memberi tumpuan bukan saja 100 peratus, tetapi lebih daripada itu dan ia ibarat perlawanan hidup dan mati buat JDT kerana jika kami silap langkah, peluang mara ke pusingan seterusnya mungkin tertutup.

“Oleh itu, semangat berpasukan yang sememangnya sudah lama wujud di dalam pasukan JDT memainkan peranan penting bagi merealisasikan impian melangkah lebih jauh, sekali gus mencipta sejarah bola sepak Malaysia apabila JDT mara ke pusingan 16 pasukan terbaik buat pertama kali,” katanya.

Ketika menang 2-1 ke atas skuad kendalian Hong Myung-bo pada pusingan pertama, Bergson Da Silva muncul penjaring selepas Fernando Forestieri mencipta gol awal 18 April lalu.

Bergson mengakui dirinya bakal diawasi benteng pertahanan Ulsan Hyundai, tapi enggan terlalu memikirkan situasi bakal dihadapi dan berharap kerjasama rakan sepasukan serta mengikut perancangan taktikal ketua jurulatih, Benjamin Mora.

sumber:- HM

Katanya, biarpun setiap langkahnya bakal diawasi pertahanan lawan, dia akan berusaha sedaya upaya dan akan memperkemaskan corak permainan untuk membvru gol.