Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengajak peminat untuk memenuhkan gelanggang keramat skuad Harimau Selatan iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.

Ia kerana juara bertahan Liga Super lapan kali berturut-turut itu berdepan misi besar untuk menundukkan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai buat kali kedua dalam saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Malah, sekiranya menang, skuad kendalian Benjamin Mora itu akan mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya selaku juara kumpulan dan mencipta sejarah buat kelab dan juga negara.

Justeru, sokongan padu daripada seluruh penyokong yang juga pemain ke-12, JDT amat diperlukan untuk membantu barisan pemain skuad Harimau Selatan mencipta keputusan positif dalam perlawanan terakhir kumpulan itu.

“Bagi penuh stadium Sabtu ini. Kita akan berjvang sampai mat!. Doa semoga kita cipta sejarah baru buat kelab dan Johor demi keluarga JDT. Mudah mudahan Insha’allah,” tulis Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada laman Instagram rasmi milik JDT, semalam.

JDT menewaskan Guangzhou 2-0, semalam sekali gus membolehkan mereka kembali merampas kedudukan teratas kumpulan dan berkongsi 10 mata dengan Ulsan Hyundai yang menghuni kedudukan kedua.

Sementara itu, juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul lapan mata dan termasuk dalam persaingan merebut slot ke peringkat seterusnya bersama JDT dan Ulsan Hyundai.

sumber:- BH

Aksi terakhir Kumpulan I antara JDT men3ntang Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale akan berlangsung serentak pada jam 5 petang, Sabtu ini dengan membabitkan gelanggang di Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Hassan Yunos.