Sukan

Tiga pemain muda berpeluang beraksi di Bundesliga

Tiga ‘ubi’ muda Malaysia berpeluang menarik minat pencari bakat dari Bundesliga selepas mereka akan dihantar menjalani latihan selama seminggu di negara gergasi bola sepak dunia itu.

Itu adalah inisiatif dilakukan Pusat Pembangunan Bolasepak Destiny (DFDC) dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aylwin Skelchy menjelaskan usaha itu berbeza dengan apa yang pernah dilakukan oleh banyak siri ‘penghantaran’ pemain ke luar negara sebelum ini.

Aylwin menjelaskan tiga pemain yang dipilih daripada DFDC itu sendiri akan dinilai secara teliti oleh rakan kongsi mereka yang juga konsultan sukan terkemuka, Schachter Sport yang memiliki jaringan serta terbabit dengan kelab terkemuka Bundesliga.

Ini adalah program istimewa kita bersama rakan kongsi kita. Walaupun kita turut berkongsi perkembangan mereka menerus laporan yang sudah diberikan tetapi mereka mahu melihat persembahan pemain kita di depan mata mereka.

“Penilaian secara profesional akan diberikan dan kemudian mereka akan merumuskan pemain ini sesuai untuk beraksi di divisyen mana di Bundesliga. Mereka yang dihantar sememangnya berpotensi dan saya optimis mereka ada peluang yang cerah di sana,” katanya.

Ini adalah kali pertama mereka akan menghantar pemain untuk berlatih di luar negara dan tiga pemain yang akan bertolak hujung bulan ini adalah Hanz Daniel Skelchy, 17, Premjeet Singh Dhaliwal, 16 dan Kyle Joshua Skelchy, 15.

Sebagai rekod, pemain terpilih DFDC pernah terbabit dengan pelbagai kejohanan antarabangsa seperti Piala Waldenser Polka (Bundesliga), Piala Iber di Jerman, Piala Europa di Barcelona serta Tri Series di Akademi Aspire Qatar Aspire.

Selain itu, ada juga yang beraksi untuk Piala Sook Ching di China, pembangunan bolasepak di Yongin, Korea Selatan serta pelbagai lagi pertandingan sekitar Asia Tenggara.

Dalam perkembangan sama, Aylwin juga menjelaskan bukan hanya tiga pemain itu yang akan diberi peluang malah dia juga turut membawa 20 pemain Bawah 14 tahun (B-14) dan Bawah 15 tahun (B-15) daripada akademi itu untuk turut sama menimba peluang.

“Keseluruhan pasukan akan ke Jerman untuk mendapatkan pengalaman dan bermain dengan akademi Bundesliga di sana. Bukan penerapan teori dan falsafah semata-mata tetapi mereka juga akan beraksi di atas padang.

sumber:- BH

“Kita akan bermain dengan FSV Mainz 05, Waldhof Mannheim, Kaiserslautern, Darmstadt 98 dan pasukan projek pemilihan bakat Jerman dari bandar Mainz. Saya berharap usaha ini dapat membuka lebih banyak laluan untuk pemain mengembangkan bakat mereka ke luar negara,” katanya.