Sukan

Sah akan dipinda

Kerisauan barisan kejurulatihan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara susulan keengganan beberapa kelab melepaskan pemain akhirnya terlerai apabila jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga M) akan dipinda.

Ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam apabila mengesahkan akan meminda jadual aksi dari minggu ketujuh hingga ke-10 membabitkan kempen Liga Super musim ini.

Katanya, ia bagi memberi laluan kepada persiapan skuad B-23 dengan meminda sekurang-kurangnya enam perlawanan Liga Super itu bagi membolehkan skuad kendalian Brad Maloney menyertai latihan pusat serta temasya Sukan Sea di Vietnam bulan depan.

Jelasnya, perkara itu dicapai selepas penyelarasan dilakukan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kelab-kelab Liga M yang bertanding dengan ia turut membabitkan skuad Harimau Malaya pada bulan Jun nanti.

Ini diikuti kejohanan Piala AFC B-23 di Uzbekistan bermula 24-31 Mei membabitkan pasukan berkenaan (skuad B-23), manakala skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat bermula 19-29 Mei sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

“Pindaan keseluruhan jadual perlawanan minggu ke-10 juga dirancang selepas Malaysia diberi peluang menjadi tuan rumah kepada pusingan kelayakan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 8-14 Jun,” katanya.

Stuart berkata dengan ketiadaan perjalanan dan kuarant!n dalam fasa end3mik ini, MFL dapat memberi tambahan hari untuk latihan pusat kepada pasukan kendalian Kim Pan-gon itu sebelum aksi penting berkenaan.

“Pindaan perlawanan Liga Super ini penting kerana ia berkaitan dengan agenda negara dan saya juga merakamkan penghargaan kepada setiap kelab yang memberi kerjasama serta persetujuan menyempurnakan pindaan ini dengan meletakkan kepentingan Malaysia sebagai keutamaan,” katanya.

Di Vietnam nanti, skuad B-23 yang diundi dalam Kumpulan B akan berhadapan Thailand pada 7 Mei, sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).

Bagi pasukan senior pula, anak didik Pan-gon bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun ini, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Sebelum ini, skuad B-23 kendalian Maloney menerima tamparan hebat apabila hanya lima pemain daripada 31 nama yang disenaraikan melaporkan diri selepas kelab enggan melepaskan pemain.

Tindakan kelab terbabit difahamkan ekoran komitmen dalam saingan liga tempatan yang sedang rancak berlangsung ketika ini.

sumber:- HM

Bagi dua pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Luqman Hakim Shamsudin pula akan mula menyertai pasukan mulai Isnin dan Jumaat ini.