Sukan

Tiada niat buat ‘onar’

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menjelaskan beliau tidak sesekali berniat untuk menyekat lima pemainnya daripada beraksi bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang bakal beraksi di pentas Sukan Sea Vietnam, bulan depan.

Sebaliknya belia mengakui begitu teruja dan gembira kerana beberapa pemainnya mendapat tempat dalam skuad kendalian Brad Maloney sekali gus membuktikan ramai pemain berkualiti dalam pasukan TFC.

Namun katanya, disebabkan khidmat mereka diperlukan untuk memperkuatkan jentera pasukan dalam saingan Liga Super dan Piala FA minggu depan, antara faktor beliau belum lagi melepaskan lima pemain berkenaan.

Tambah jurulatih berusia 44 tahun itu, jika mereka dilepaskan ketika khidmat diperlukan terutama menentang Selangor FC malam ini dan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Piala FA pusingan pertama, ianya bakal menjelaskan persiapan skuadnya.

Kita sememangnya bukan mahu menyekat pemain beraksi bersama skuad kebangsaan, lebih-lebih lagi bukan mudah untuk menyarung jersi skuad negara, malah kita pun gembira mereka beraksi bersama skuad B-23.

Tapi buat masa ini pasukan lebih memerlukan mereka. Jika kita lepaskan sudah tentu akan menjejaskan perancangan pasukan selain menyebabkan kita tidak mencukupi pemain kerana mereka adalah tonggak pasukan kami.

“Jadi inilah sebab utama kita belum lagi melepaskan pemain berkenaan, maknanya untuk dua perlawanan men3ntang Selangor FC malam ini dan NSFC dalam saingan Piala FA kerana kita masih memerlukan khidmat mereka,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

sumber:- HM

Terdahulu Maloney menyenaraikan lima tonggak TFC iaitu Syafik Ismail, Muhammad Azam Azmi Murad, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Hairiey Hakim Mamat dan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim untuk memperkuatkan jentera skuad kebangsaan.