Sukan

Sri Pahang berdepan tugas sukar

Pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel mengakui peluang skuad itu untuk mencatat kemenangan ke atas Penang FC 50-50 apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Jurulatih berasal dari Perancis itu berkata, ini kerana Penang FC dilihat memiliki kelebihan terutama di bahagian serangan.

Penang juga memiliki barisan pemain pertahanan yang kental dan lebih pantas yang memerlukan Sri Pahang bekerja keras.

Namun, saya harap pemain tidak terikut-ikut corak permainan lawan, sebaliknya dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka iaitu memastikan kemenangan buat Sri Pahang.

“Bagi saya perlawanan esok adalah sukar tetapi tiada yang mustahil untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya.

Ditanya sama ada pemain pertahanan import, Johan Martial akan diturunkan malam esok, Gamel belum pasti untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.

Beliau perlu menunggu latihan terakhir sebelum membuat keputusan kerana pemain itu baru pulih daripada kecederaan.

“Martial akan bermain atau tidak bergantung kepada latihan terakhir pasukan,” katanya.

Pada masa sama, jurulatih berusia 50 tahun itu meminta peminat skuad Tok Gajah beramai-ramai hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada Sri Pahang.

“Kehadiran penyokong akan memberikan semangat kepada kami, khususnya pemain untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

sumber:- HM

Selepas tiga perlawanan, Sri Pahang belum mencatat kemenangan dan berada di kedudukan ke-11 liga dengan mengutip satu mata.