Pengendali skuad Bawah 23 (B-23) negara, Brad Maloney menetapkan 1 Mei sebagai tarikh akhir untuk semua 31 pemain melapor diri bersama skuad kebangsaan sebelum berlepas ke Vietnam bagi menghadapi Sukan Sea.

Meskipun hanya lima pemain melapor diri pada sesi latihan pertama, malam kelmarin, Maloney tetap percaya dapat mengumpulkan semua pemain terbabit.

Kami sudah berbincang dengan pihak kelab, pemain dan jurulatih. Kami mendapat jaminan semua pemain akan melapor diri dalam tempoh terdekat.

Kami menghormati kedudukan pemain bersama kelab dan pada masa sama tanggungjawab mereka bersama skuad kebangsaan. Saya percaya semua pemain bersemangat untuk mewakili negara ke Sukan Sea.

“Untuk itu, saya harap setiap pemain akan melapor diri paling lewat 1 Mei. Saya akui ia (mengumpulkan pemain) agak mencabar dengan pelbagai situasi yang berlaku sepanjang sesi latihan,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.

Lima pemain yang yang melapor diri itu adalah penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Shafi Azswad Sapari dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.

Sebelum berlepas ke Vietnam pada 4 Mei, skuad negara akan mengadakan dua perlawanan persahabatan bertemu Timor Leste pada 29 April dan Filipina (1 Mei) di Stadium UiTM.

Maloney mengakui mungkin tidak dapat menggunakan sepenuhnya khidmat pemain yang baru melapor diri pada 1 Mei untuk perlawanan persahabatan bertemu Filipina.

Beliau berkata, kejutan di temasya Sukan Sea Hanoi dianggap tidak mustahil jika semua pihak terutama kelab melepaskan pemain bagi membolehkan persiapan awal dilakukan.

Malah, dia mengakui memiliki ‘plan B’ dengan beberapa tonggak B-19 kemungkinan akan dipertaruhkan sekiranya gagal mendapatkan khidmat pemain B-23.

Kita menyenaraikan hampir 50 pemain seperti kebiasaan dan sudah tentu kita akan melihatnya, walaupun tidak tahu pemain mana boleh atau tidak boleh datang.

Tapi menerusi perbincangan dilakukan, kita yakin dengan hubungan baik dijalin dengan kelab dan penyokong mahu melihat skuad terbaik dapat beraksi di Sukan Sea.

sumber:- HM

“Kalau kita boleh kumpulkan pemain terbaik dalam kelompok usia ini, kita boleh capai sesuatu nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari pertama di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, malam kelmarin.