Sukan

Wajar lantik ganti Vidakovic

Jurulatih sementara Melaka United, Mohd Asri Ninggal wajar dilantik sebagai pengendali tetap selepas cemerlang membantu skuad Hang Tuah mencatat kemenangan pertama berdepan Sri Pahang, Sabtu lalu.

Dilantik memangku tugas ketua jurulatih Risto Vidakovic yang dipecat, Asri jelas berjaya menampilkan persembahan bertenaga dengan susunan pemain yang mantap berbanding empat aksi sebelum ini.

Bekas pemain bola sepak Olimpik 1980 yang juga pernah mengendali skuad Melaka, Ramli Junit berkata, corak permainan pasukan terbabit dilihat lebih positif menerusi pemilihan posisi yang tepat dalam kalangan pemain.

Menurutnya, Asri menampilkan posisi sebenar dengan turut menyenaraikan pemain berpengalaman dalam kesebelasan pertama termasuk Zaharulnizam Wan Zakaria dan Syazwan Andik yang sebelum ini lebih kerap sebagai pemain gantian.

Kemenangan itu jelas membuka mata banyak pihak terhadap keupayaan taktikalnya selepas mencatat kemenangan pertama selepas lima perlawanan.

Justeru, dia wajar diberi peluang untuk meneruskan khidmat dan dilantik jurulatih tetap. Walaupun satu kemenangan bukan penentu untuk menilai keupayaan sebenar, tetapi ia adalah kemenangan moral yang amat baik buat Asri dan pemain Melaka itu sendiri.

“Kemungkinan pemain mula serasi dengan Asri dan ia satu permulaan yang amat baik buat skuad berkenaan dalam memperbaiki kedudukan di carta liga,” katanya.

Ramli tidak menolak kemungkinan Asri yang bertugas sebagai penolong jurulatih dalam tempoh panjang sejak khidmat Zainal Abidin Hassan sehingga era Vidakovic membolehkan dia lebih mengenali karakter pemain.

sumber:- BH

Terdahulu, beberapa nama dikatakan menjadi sebutan untuk mengisi kekosongan Vidakovic termasuk bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, selain pengurus Sri Pahang, Dollah Salleh dan Zainal turut dikatakan dalam radar pengurusan pasukan itu.