Sukan

Kedah Darul Aman FC kembali garang

Kedah Darul Aman FC kembali ke landasan kemenangan apabila bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Penang FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya sebentar tadi.

Selepas tewas 1-4 kepada Selangor FC minggu lalu, pasukan Lang Merah itu kembali ke landasan terbaik dalam mencabar kejuaraan liga musim ini

Dalam aksi ‘derby’ utara tanah air itu, Penang seakan-akan bakal menamatkan penantian kemenangan pertama apabila Hilal El-Helwe menyudahkan lintangan T. Saravanan pada minit ke-16.

Bagaimanapun, Kedah bangkit dalam babak kedua menerusi jaringan berganda Ronald Ngah dalam masa tiga minit.

Ronald Ngah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 selepas dia dijatuhkan Ariff Ar-Rasyid Ariffin.

Berselang tiga minit, pemain kelahiran Cameroon itu sekali lagi menewaskan Khatul Anuar Jalil, kali ini menerusi gerakan solo menarik susulan satu s3rangan balas pantas.

Dengan kemenangan itu, Kedah kembali menduduki tangga kedua Liga Super dan terikat 12 mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), biarpun pasukan Harimau Selatan berkenaan memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

sumber:- SA

Penang pula berada di tangga kesembilan dengan tiga mata selepas lima perlawanan.Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan di Stadium Negeri, Kuching, Terengganu FC memperoleh kemenangan pertama selepas menewaskan Sarawak United 2-0 hasil jaringan Kpah Sherman dan Zuasyraf Zulkiefle.