Sukan

Alhamdulillah selepas tiga tahun saya kembali

Rasa syukur dipanjatkan strikernegara, Hadi Fayyadh Abdul Razak selepas namanya tersenarai dalam skuad bawah 23 (B-23) tahun negara bagi menghadapi saingan Sukan Sea di Vietnam, bulan depan.

Hadi, 22, yang beraksi di Liga Jepun bersama Fagiano Okayama sejak 2019 antara pemain negara paling konsisten kekal beraksi di luar negara dengan kini dipinjamkan ke kelab Azul Claro Numazu.

Jelasnya, panggilan semula memperkuatkan skuad negara dianggap satu penghormatan dan selepas hampir tiga tahun tidak disenaraikan sebelum ini, nyata Hadi cukup teruja kali ini.

Untuk rekod, kali terakhir dia menyarung jersi negara adalah ketika Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 yang berlangsung di Shah Alam pada 2019 lalu.

“Alhamdulillah selepas tiga tahun saya amat bersyukur dan sentiasa berbesar hati untuk kembali bersama pasukan kebangsaan,” katanya yang turut pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum melebarkan sayap ke Jepun.

Selepas mengikat kontrak dengan Fagiano Okayama, Hadi dipinjamkan ke kelab bawahan divisyen tiga, Azul Claro Numazu pada hujung musim 2020 bagi memberi peluang buatnya meraih lebih minit permainan.

Begitupun dia mengalami kecederaan ACL di lutut kanannya sekaligus memaksa Hadi berehat panjang bagi membolehkan proses pemulihan dijalankan.

Hadi kembali pulih dan kini sudah bersama Azul Numazu dengan dia menunjukkan perkembangan positif sepanjang menjalani latihan dan aksi persahabatan bersama kelabnya.

Lantas pengalaman selama tiga musim di Jepun amat ditagih oleh pengendali negara, Brad Maloney bagi memastikan jentera serangan skuad negara tampil ampuh di Sukan Sea di Vietnam pada bulan depan.

sumner:- HM

Malah, khidmatnya mungkin akan dikekalkan sehingga kempen Piala Asia B-23 di Uzbekistan yang dijadual berlangsung seminggu selepas berakhirnya temasya dwitahunan itu dengan saingan benua Asia akan bermula dari 1-19 Jun ini.