Sukan

Luqman Hakim turut tersenarai

Pemain kebangsaan berpengkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh Abdul Radzak dipanggil menyertai kem latihan skuad Bawah 23 tahun (B-23) sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Hanoi, bulan depan.

Luqman yang beraksi bersama KV Kortrijk manakala Hadi bersama Azul Claro di Jepun berada dalam senarai 31 pemain yang menjadi pilihan pengendalinya, Brad Maloney untuk kem latihan yang akan bermula, Selasa ini.

Daripada 31 pemain terbabit, Maloney mempertaruhkan 19 pemain daripada skuad yang berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia B-23 2022 dan dua pemain yang beraksi pada Kejuaraan B-23 AFF 2022 pada Februari lalu.

Baki sembilan lagi pemain yang dipanggil adalah tiga daripada Selangor FC (SFC), dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDTII), seorang dari Terengganu FC (TFC), dua dari Terengganu FC II (TFCII) serta seorang dari KL City FC.

Semua pemain yang dipanggil akan melapor diri secara berperingkat selepas selesai komitmen perlawanan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Mereka dijadual mengharungi dua aksi persahabatan secara tertutup bertemu skuad B-23 Timor Leste pada 29 April dan skuad B-23 Filipina pada 1 Mei.

Seterusnya, Maloney akan menamakan senarai akhir 20 pemain untuk dibawa ke Sukan SEA namun peraturan penganjur menetapkan pemain tambahan hanya dibenarkan jika terdapat mana-mana pemain disahkan positif C0VID-19 untuk menggantikan pemain terbabit.

Pada temasya di Vietnam itu, skuad negara diundi dalam Kumpulan B dan akan memulakan kempen berdepan Thailand pada 7 Mei disusuli Laos pada 11 Mei dan Singapura pada 14 Mei.

sumber:- BH

Mereka akan menutup kempen peringkat kumpulan men3ntang Kemboja pada 16 Mei dengan semua aksi berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.