Sukan

Detik paling penting untuk Pan Gon

Tempoh tiga minggu kem latihan pusat sebelum menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini menjadi detik paling penting buat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengasah taring skuad Harimau Malaya.

Berdasarkan kenyataannya semalam, pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan skuad Harimau Malaya akan mula berkumpul bagi kem latihan pusat menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 pada 19 Mei ini.

Sepanjang latihan pusat itu, skuad kebangsaan akan menempuh ujian terbaik apabila dijadualkan berdepan Myanmar dan Hong Kong dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur pada 27 Mei dan 1 Jun ini.

Justeru, Pan Gon juga menaruh harapan bahawa tempoh yang panjang bersama pemain itu boleh memberi ruang kepada barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan membentuk skuad terbaik.

“Tempoh tiga minggu kem latihan pusat termasuk perlawanan pemanas badan menentang Myanmar dan Hong Kong diharap dapat memberi peluang dan ruang buat kami barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya meningkatkan lagi tahap permainan, keserasian serta kombinasi para pemain sebelum kita berdepan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan aksi Kumpulan E pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, sebelum menentang Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam misi memburu slot untuk layak ke kejohanan itu tahun depan.

Anak buah Pan Gon tampak memiliki sedikit kelebihan apabila semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, termasuk aksi persahabatan dengan Myanmar dan Hong Kong.

Justeru, aura sorakan penyokong setia atau pemain ke-12 Harimau Malaya sangat ditagih Pan Gon bagi memastikan peluang terbaik untuk layak ke Piala Asia 2023 dapat direalisasikan.

“Dengan semua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, saya juga berharap kehadiran penyokong setia skuad Harimau Malaya.

“Ia akan memberikan suntikan semangat untuk pasukan kita tampil dengan persembahan lebih bertenaga dan seterusnya dapat memberikan keputusan positif serta kejayaan yang kita semua harapkan,” katanya.

Untuk rekod, Pan Gon memulakan perlawanan pertamanya selaku pengendali skuad Harimau Malaya dengan kemenangan 2-0 ke atas Filipina dalam aksi persahabatan di Singapura, bulan lalu.

sumber:- BH

Anak buahnya bagaimanapun tunduk 1-2 di tangan Singapura dalam satu lagi aksi persahabatan sebelum menang 3-0 dalam perlawanan tertutup berdepan kelab Albirex Niigata, Singapura.