Sukan

Baddrol bantu Sabah dominasi aksi Derby Borneo

Aksi ‘Borneo Derby’ menjadi milik Sabah FC selepas pasukan itu meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas pendatang baharu Liga Super, Sarawak United di Stadium Negeri, malam tadi.

Jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar sudah cukup untuk skuad Badak merangkul tiga kemenangan berturut-turut pada musim ini.

Keputusan itu jelas mengecewakan Sarawak United yang setakat ini kekal dengan hanya satu mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Corak permainan berhati-hati ditampilkan kedua-dua pasukan yang menyaksikan tiada gerakan menarik dapat dihasilkan dalam tempoh 20 minit pertama.

Sabah FC beroleh peluang untuk membuka jaringan selepas Saddil Ramdani melakukan hantaran lintang pada minit ke-41 namun tandukan Tommy Mawat Bada tersasar.

Peluang Sarawak United tiba di penghujung babak pertama menerusi situasi kelam kabut di hadapan gol namun kuisan Boris Kok gagal menemui sasaran.

Selepas Sarawak United bertahan dengan baik selama 80 minit, tindakan Gonzalo Soto yang mengasari Pessoa Neto menyebabkan Sabah FC dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab.

Baddrol tidak berdepan masalah menewaskan Sharbinee Alawee untuk gol pertamanya bersama Sabah FC sekali gus menjadi gol kemenangan buat pelawat.

sumber:- BH

Selepas ini, skuad ‘The Crocs’ akan melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) sementara Sabah FC akan terbang ke Lembah Klang untuk berdepan juara Piala Malaysia, KL City FC.