Sukan

FAM dilihat amat serius

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat serius mengenai penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) apabila mengadakan perbincangan bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menghadiri sesi perbincangan itu dengan Pengarah Pengadil AFC, Shamsul Maidin.

Dalam sesi itu, Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM diberi penerangan terperinci daripada Shamsul mengenai perkembangan semasa penggunaan sistem VAR dan pengadil profesional di liga domestik di seluruh dunia, kata FAM dalam satu kenyataan.

Turut hadir pada sesi perbincangan itu adalah Ketua Unit Pengadil FAM, Kassim Kadir Bacha dan Pengurus Projek AFC, Chang Seok Rhee.

Beberapa pihak sebelum ini mencadangkan sudah tiba masanya untuk saingan Liga M menggunakan VAR selepas prestasi buruk yang dipamerkan pengadil tempatan.

Antaranya adalah pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.

Malah Norizam bersedia mendahulukan duitnya bagi membantu FAM untuk membeli sistem berkenaan yang dianggarkan jutaan ringgit.

Norizam sebelum ini berkata, kesediaannya untuk membantu badan induk itu adalah kerana mahu melihat mutu pengadilan bola sepak tempatan berada pada tahap terbaik sekali gus dapat mengelak daripada sebarang keputusan kontroversi oleh pengadil.

sumber:- HM

Dua negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia dilaporkan sudah menggunakan sistem VAR dalam saingan liga masing-masing bagi mengelak sebarang keputusan kontr0versi daripada pengadil perlawanan.