KATA orang, ada dua perkara yang sentiasa konsisten dalam Liga Malaysia (Liga M). Satu – Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi juara liga dan dua – isu tunggakan gaji.

Isu pertama sama sekali tidak pernah menjadi masalah tetapi isu kedua – ini sebenarnya antara ‘dosa’ paling berat dalam liga namun masih juga ada pasukan yang tanpa segan silu melakukannya.

Isu tunggakan gaji ini ibarat festival tahunan dan tidak mengejutkan apabila ia boleh berlaku di peringkat mana sekalipun – permulaan liga, pertengahan liga ataupun penghujung musim.

Musim 2022 baru sahaja bermula namun sudah ada cerita tidak enak mengenai isu tunggakan gaji yang sudah dijamu kepada penyokong bola sepak tempatan.

Malah, pelakunya dalam kalangan orang yang sama di mana mereka ini pernah dihukum tetapi masih tidak serik lagi untuk melakukan perkara sama.

Mendengar komen jurulatih pasukan itu yang mengatakan ini kali pertama dia berdepan masalah itu sepanjang menjadi jurulatih, itu pun sudah cukup memalukan.

‘Sejarah lampau’ juga menyaksikan nama Liga M sentiasa ‘laku’ dengan kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila membabitkan isu tunggakan gaji kepada pemain import.

Setakat ini, sudah ada dua atau tiga pasukan terpalit dengan tunggakan gaji, jadi pertaruhan boleh dilakukan untuk melihat di mana akan ada lagi pasukan berdepan isu ini, sama ada kecoh ataupun tidak sahaja.

Isu ini bagaikan satu penyakit yang cuba dirawat tetapi tidak dapat diubati kerana akhirnya akan membarah sekali gus tidak dapat disembunyikan walaupun dengan penswastaan pasukan serta pengenalan Program Kawalan Ekonomi (ECP).

Mungkinkah penswastaan ‘paksaan’ yang dilakukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada pasukan menyebabkan mereka tidak lagi dapat menikmati ‘kemewahan’ seperti mana kebergantungan penuh terhadap dana kerajaan sebelum ini?

Tetapi penswastaan ataupun tidak dan pasukan berpindah milik sekalipun, tunggakan gaji tetap berlaku juga dan bayangkan selepas ini di mana pasukan bola sepak (FC) perlu berdikari sepenuhnya, adakah kita akan melihat lebih banyak isu tunggakan gaji berlaku?

Jadi penyudahnya, berbalik kepada pasukan itu sendiri di mana mereka perlu sedar diri dengan ‘kantung’ mereka, kalau ada RM1, janganlah berbelanja seperti ada RM5.

MFL boleh letakkan sebarang garis panduan ataupun pantang larang sekalipun tetapi kalau hendak dilanggar, memang dilanggar juga. Sama seperti gambar mengerikan di kotak rokok, tetap juga orang menghisapnya dengan penuh keasyikan.

Andai tak mampu, buatlah cara tidak mampu. Ikut sahaja cara PJ City FC, tidak terhina langsung sesuatu pasukan kalau sekadar guna anak tempatan untuk bermain dalam kancah bola sepak tempatan.

Memang pelan sebegini menyukarkan pasukan untuk menjadi pencabar atau menjulang trofi tetapi untuk kelangsungan pemain dan pasukan jangka masa panjang, ini model yang wajar ditiru.

Pertimbangan dari segi pengurusan juga perlu dibuat dengan bajet yang ada, jangan pula letak sasaran ‘melangit’ kerana apabila semuanya mahu tinggi, takut hujung hujung pemain termenung depan ATM.

Dalam isu ini, paling dibimbangi kalau ada pihak cuba menangguk di air yang keruh iaitu ‘bookie’ yang pasti tersenyum kerana mereka dapat situasi menang-menang.

“Lebih baik kalah dan dapat duit daripada menang tetapi tak dapat apa-apa.” Ini modal yang boleh digunakan mereka untuk memancing pemain.

Semoga isu tunggakan gaji ini tidak berlarutan sehingga mencetuskan kegiatan tidak bermoral ini kerana walaupun kita tidak nampak, tidak mustahil perkara ini boleh berlaku.

sumber:- BH

Berbalik kepada isu pertama seperti di atas, ada dengar JDT yang sudah merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelapan serta bermain di Liga Juara Juara (ACL) ‘sangkut’ bab gaji?