Sukan

Siapa mahu jadi pak sanggup

Pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli berkata pemilik Perak FC membuat keputusan yang tepat apabila sanggup melepaskan pasukan itu walaupun pada harga RM1.

Katanya, langkah itu sebagai jalan bagi menyelamatkan skuad Bos Gaurus daripada berdepan masalah lebih besar termasuk hukuman daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekiranya terus gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Namun, apa yang menjadi persoalan menurut Pekan ketika ini, mengenai kesanggupan pihak yang ingin menjadi pemilik baharu Perak FC untuk menanggung semua hutang yang ada dalam pasukan itu.

Justeru, katanya, penelitian perlu dilakukan dengan sebaik mungkin sebelum proses jual beli atau tukar hak milik dimuktamadkan terutama dari segi kemampuan kewangan yang dimiliki pemilik baharu.

Saya lihat, pertama sekali tindakan pemilik Perak yang sekarang ini memang satu tindakan yang tepat sama ada dia jual dengan nilai RM1 atau bagi percuma, kerana dia mungkin memang sudah tiada kemampuan atau sumber kukuh.

Walaupun nak jual hanya RM1 sekali pun, tapi syarat pemilikan itu perlu jelas. Siapa yang nak kena tanggung hutang sebelum ini atau pemilik baharu itu yang perlu tanggung segala hutang. Jadi itu perlu dijelaskan dahulu.

Adakah ada pihak yang berani untuk menanggung ‘biawak hidup’? Itu persoalannya. Kes Perak ini sama seperti Kelantan dulu, tapi Kelantan bernasib baik apabila pemilik baharunya sanggup bayar hutang yang sepatutnya bukan dia yang tanggung.

“Malah, kalau macam itu (perlu tanggung hutang), syarikat apa sekali pun akan ambil masa yang lama untuk proses benda itu (ambil alih Perak), melainkan kalau ada syarikat besar dan memiliki kewangan sangat kukuh yang sanggup melabur,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, BH Sukan melaporkan Perak FC tampak semakin terdesak untuk mencari ‘tuan’ baharu apabila pemilik pasukan itu sanggup melepaskan skuad Bos Gaurus walaupun dengan harga RM1.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah dilaporkan mengakui pihaknya tidak mampu untuk menyelesaikan hutang pasukan berjumlah kira-kira RM8 juta termasuk RM2 juta membabitkan tunggakan gaji pemain.

Walaupun tanda harga itu tidak masuk akal bagi satu pasukan yang boleh dikatakan memiliki nama dalam Liga Malaysia (Liga M), namun itu mungkin langkah terbaik perlu dilakukan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd untuk mengelak situasi lebih parah dihadapi skuad Bos Gaurus.

sumber:- BH

Skuad kendalian Yusri Che Lah itu dikenakan pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Jumaat lalu dan berdepan hukuman lebih berat iaitu ditolak enam mata lagi jika masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan pada tarikh akhir kedua 14 April ini.