Sukan

Tanda Harga Perak FC sangat tidak masuk akal

Tanda harga Perak FC hanyalah RM1 kepada individu atau syarikat yang mahu memiliki pasukan terbabit.

Harga terbabit boleh dianggap tidak masuk akal namun keadaan tenat yang melanda skuad Bos Gaurus menyebabkan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd terpaksa mengambil keputusan terbabit untuk melepaskan pasukan itu dalam masa terdekat ini.

Pegawai Eksekutif Perak FC Muhammad Yunus Zakariah ketika dihubungi Arena Metro memaklumkan bahawa, pihaknya tidak berkemampuan untuk menyelesaikan hutang pasukan termasuklah tunggakan gaji.

Beliau berkata, ketika ini penjualan Perak FC terganggu berikutan pihak pembeli masih lagi tidak mengemukakan proof of funds seperti yang termaktub dalam peraturan ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Kami sekarang nak jual saja namun tak boleh sewenangnya berbuat demikian kerana individu atau syarikat yang berminat memiliki Perak perlu mengemukakan proof of funds terlebih dahulu.

Saya boleh katakan ketika ini kami memang tak mampu malah perlawanan baru-baru ini membabitkan Perak FC pun agak perit untuk mencari sumber kewangan bagi membayar stadium dan juga pasukan pelawat.

“Jika nilai pasukan RM1 pun tak mengapa kerana yang penting adalah untuk menyerahkan Perak FC kepada pihak yang berminat dan berkemampuan,” katanya.

Terdahulu, nasib Perak FC bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila pasukan terbabit terus dilanda badai dengan terbaharu berhadapan hukuman pemotongan tiga mata selepas gagal melunaskan tunggakan gaji barisan pemain musim lalu.

Keputusan itu diputuskan badan bebas iaitu Pelesenan Kelab atau First Instance Body (FIB) berkuatkuasa serta merta.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, skuad The Bos Gaurus gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada tarikh pertama yang ditetapkan oleh FIB iaitu pada 31 Mac lalu.

Malah, Jika Perak FC masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua (14 April ini) maka pada 15 April, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Perdana dan pengurangan dana.

Sementara itu, Yunus berkata, ketika ini Perak FC menanggung kira-kira RM8 juta hutang termasuklah RM2 juta membabitkan tunggakan gaji pemain.

sumber:- HM

“Pada masa ini, kami memang tidak berkemampuan untuk menyelesaikan segala hutang itu dan mengharapkan pemilik baharu dapat membayarnya kelak,” katanya.