Bekas ketua pasukan negara, Zaquan Adha Abd Radzak tampil mempertahankan saudara kembarnya, Aidil Zafuan yang menjadi mangsa cemuhan keterlaluan penyokong bola sepak tempatan selepas kekalahan 1-2 skuad Harimau Malaya di tangan Singapura dalam aksi persahabatan, Sabtu lalu.
Ibarat cubit paha kanan, paha kiri sakit juga, mungkin itulah yang dirasakan bekas penyerang negara selepas melihat gambar abang kembarnya diedit oleh segelintir netizen ekoran kekalahan itu.
Berdasarkan perkongsian Zaquan di laman Instagram miliknya, penyerang Negeri Sembilan FC itu dilihat seolah kecewa dengan tindakan penyokong yang sanggup mengedit muka Aidil susulan keputusan perlawanan itu.
“Life as a footballer (ini kehidupan seorang pemain bola sepak)… bila menang semua indah kata-kata, bila kalah siap sanggup edit muka,” tulis Zaquan.
Terdahulu, Aidil yang juga pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) didakwa penyokong sebagai punca kekalahan pasukan negara di tangan Singapura.
Dua gol yang diraih pasukan seberang tambak itu dihasilkan oleh Ikhsan Fandi dengan Aidil dikatakan lambat menutup ruang hingga membolehkan anak kepada legenda Singapura itu menjaringkan gol.
Penyokong yang tidak bertanggungjawab kemudiannya sanggup mengubah wajah Aidil menyamai muka pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire yang kerap melakukan kesilapan di benteng pertahanan.
Selain Zaquan yang menempelak tindakan netizen itu, pemilik JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga sebelum ini mempertahankan Aidil dan menganggap tidak seharusnya hanya seorang pemain dipersalahkan.
sumber:- HM
“Right back naik sampai dalam kotak lepas tu tak turun balik. Second bila sampai tak stop the cross, so salah sapa? Centre back? Pergi tengok replay,” kata Tunku Ismail seolah merujuk kepada pertahanan kanan, Dion Cools yang sering meninggalkan posisinya hingga menyebabkan pemain lain terpaksa mengisi tempatnya.