Sukan

Reaksi Liridon selepas berjaya cetak sebagai penjaring

Kegembiraan dan kepuasan buat pemain bola sepak adalah berjaya membuka akaun gol bersama pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Perasaan itu dikongsi tonggak naturalisasi negara, Liridon Krasniqi apabila panggilannya mewakili negara pada perlawanan persahabatan akhirnya menamatkan kemarau pemain berasal dari Kosovo itu untuk menyumbang gol buat skuad Harimau Malaya.

Walaupun, prestasi Liridon bersama Harimau Malaya sering dikritik penyokong namun dia percaya gol berkenaan adalah pembuka jalan mencipta lebih banyak kejayaan pada perlawanan akan datang.

Liridon yang kini beraksi bersama kelab Odisha FC di Indian Super League (ISL) bersyukur dan menghargai pemain serta pegawai pasukan yang membantu menghasilkan jaringan di pentas antarabangsa itu.

Bersatu bersama adalah permulaan, kekal bersama adalah kejayaan, dan bekerja bersama adalah satu kegemilangan.

“Ucapan terima kasih khas kepada pasukan & kakitangan saya yang hebat kerana membantu mencapai matlamat menjaringkan gol antarabangsa pertama untuk Malaysia.

“Bukan hasil yang kami harapkan, tetapi kami akan terus maju ke depan… lebih banyak hasil selepas ini,” katanya di Twitter.

Pada perlawanan persahabatan Sabtu lalu, Liridon menjadi pemain tunggal negara menyumbat gol buat skuad Harimau Malaya ketika menentang Singapura.

Namun, gol yang dicipta pada minit 57 itu gagal membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan apabila tewas 1-2 kepada skuad negara jiran itu.

Sementara itu, status yang dimuat naik Liridon mendapat perhatian bekas pemain Liverpool, Emre Can yang mengucapkan selamat berjaya kepada pemain naturalisasi itu.

sumber:- HM

Kedua-dua pemain berkenaan seperti sedia maklum sememangnya berkawan rapat dan Emre Can juga dikatakan mengikuti perlawanan persahabatan Tiga Negara yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura.