Selepas meraih penampilan impian menerusi kemenangan ke atas Filipina, kini pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon terus bernafsv apabila berhasrat menjadikan Singapura sebagai mangsa kedua, malam esok.
Pengendali dari Korea Selatan itu mengakui aksi Tetangga Seberang Tambak itu sememangnya penting kerana prestasi mereka akan dihakimi berdasarkan hasil yang ditunjukkan oleh barisan pemain dalam setiap perlawanan yang diharungi.
Tegasnya, aksi persahabatan itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk membentuk model permainan yang diinginkan, bagi memastikan pasukan itu lebih mantap menjelang dua misi penting yang bakal dihadapi mereka selepas ini.
Saya tahu ini adalah aksi tetangga dan setiap perlawanan adalah sangat penting buat mana- mana jurulatih kerana kita tidak boleh bercakap tanpa hasil yang baik. Kita perlu membina asas yang kukuh bagi mengharungi kelayakan Piala Asia dan juga Piala AFF.
Saya perlu tahu lebih banyak mengenai kesilapan pemain, kemampuan dalam sesetengah situasi dan sudah tentu saya tidak boleh mengganggap perlawanan ini sebagai aksi persahabatan semata-mata.
Kita jangkakan untuk menang perlawanan esok (malam ini) tetapi bukan itu sahaja, kita mahu memaksimumkan situasi untuk melihat bagaimana reaksi pemain ketika dalam perlawanan dan menterjemahkan perancangan berdepan Singapura.
“Kita perlu menyesuaikan diri dengan lebih pantas, kita akan menilai prestasi pemain dan sangat penting untuk kita memenangi perlawanan ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pan Gon memberi bayangan untuk melakukan sedikit perubahan dalam pemilihan pemain berdepan Singapura apabila menyifatkan pasukan itu masih berada dalam fasa eksperimen.
Justeru, perkembangan ini pasti menggembirakan kelompok pemain yang sekadar memanaskan bangku simpanan dan hanya mampu seronok menyaksikan rakan sepasukan lain diturunkan di atas padang ketika berdepan Filipina.
Kita ada objektif, apabila kita menyertai dua perlawanan ini. Saya cuba untuk melihat kemampuan sebenar pemain supaya kita tahu bagaimana untuk bermain dengan baik.
sumber:- BH
“Kita akan lakukan eksperimen daripada segi taktikal perlawanan. Kita akan berdepan lawan yang berbeza. Jadi ini memberi peluang yang baik supaya kita dapat melihat lebih banyak lagi (daripada perlawanan),” katanya.