Pencapaian terbaik berada dalam kelompok enam pasukan terbaik di Liga Super yang pernah dicapai 10 tahun lalu, menjadi motivasi utama buat kapten Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak.
Biarpun rekod itu sudah sedekad berlalu, namun bekas pemain kebangsaan itu mahu memastikan skuad Hobin Jang Hobin dapat mengulangi pencapaian berkenaan dalam saingan musim ini.
Katanya, walaupun NSFC dianggap pendatang baharu dalam saingan paling berprestij itu, namun dia berasakan bukan sesuatu yang mustahil buat pasukannya merealisasikan pencapaian berkenaan, musim ini.
Sasaran utama kami ialah untuk kekal di Liga Super selepas baharu dinaikkan dari Liga Perdana pada musim lalu.
Bagaimanapun dalam bola sepak, saya hanya berpegang satu benda iaitu tiada apa yang mustahil jika kita mampu mencapai kejayaan yang lebih tinggi.
“Namun satu bonus jika kami mampu beri saingan lebih sengit dengan berada dalam kalangan tiga ke lima terbaik,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Zaquan Adha, Pulau Pinang yang menamatkan cabaran di tangga ketiga Liga Super musim lalu selepas pasukan itu muncul juara Liga Perdana 2020, juga boleh dijadikan panduan dalam usaha melonjakan kembali reputasi Negeri Sembilan di persada Liga Malaysia.
“Jika musim lalu, Pulau Pinang selaku pendatang baharu boleh lakukan, maka kami pun boleh dan tiada apa yang mustahil buat Negeri Sembilan,” katanya.
Skuad bimbingan K Devan bermula langkah kanan pada aksi sulung Liga Super dengan menewaskan Sabah FC, 1-0, melalui jaringan tunggal Khair Jones.
Namun, pasukan berkenaan terpaksa berehat selama sebulan ekoran terdapat penularan pand3mik C0vid-19 dalam kalangan pemain yang membuatkan dua aksi bertemu Terengganu FC, ditunda.
sumber:- HM
Mereka bakal meneruskan cabaran berdepan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 5 April ini.