Sukan

Mereka bukan robot — Pan Gon

Jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon memberi peringatan barisan pemain bukanlah mesin atau komputer yang boleh ‘hadam’ semua taktikal yang diterapkan dalam sekelip mata.

Pan-gon berkata, penyokong Harimau Malaya tidak boleh mengharapkan bulan dan bintang pada aksi pertama skuad kebangsaan kelak kerana masih banyak lagi perkara harus dipelajari dan ditempuhi pemain dalam usaha membina pasukan yang mantap.

Walaupun masih terlalu awal untuk merumuskan segala taktikal diterapkan barisan kejurulatihan baharu, Pan-gon tetap optimis anak buahnya dapat menterjemahkan segala input yang sudahpun diperoleh sepanjang lebih seminggu menjalani kem latihan pusat.

Saya berpuas hati dengan sesi latihan kita lakukan di mana pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat apabila kita membantu mereka dengan pelbagai maklumat pada sesi latihan. Kita berkomunikasi dengan baik untuk membantu mereka.

Saya yakin dengan apa yang sudah mereka tunjukkan pada sesi latihan. Saya sudah melihat kualiti mereka dan mereka boleh buktikan kemampuan mereka pada perlawanan sebenar nanti.

Cuma kita pun perlu bersabar kerana pemain bukan mesin, mereka adalah manusia yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan maklumat baharu. Mereka bukan komputer yang boleh bertindak serta merta.

“Kita perlu menunggu dan kita akan bimbing mereka dengan cara betul. Jadi kita perlukan masa untuk membentuk pasukan yang lebih baik,” katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Singapura dalam rangka perlawanan persahabatan bertemu Filipina pada malam esok sebelum turun men3ntang tuan rumah pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, bekas pengendali Hong Kong itu turut mahukan anak buahnya tampil dengan penuh keyakinan selain sentiasa percaya pada kemampuan diri sendiri.

Sesi latihan selama seminggu ini bukan setakat menekankan aspek taktikal tetapi juga kepada pembinaan pasukan. Kami mahu lihat mereka bermain sebagai satu unit dan bermain lebih yakin di atas padang.

sumber:- HM

“Kami percaya pemain boleh tunjukkan model permainan seperti yang sudah dirancang, jadi saya teruja untuk menyaksikan apa yang akan berlaku. Saya mahu lihat bagaimana mereka membawa apa yang diperoleh pada sesi latihan ke aksi sebenar,” katanya.