Sukan

Kelab – Kelab Gergasi Eropah bakal berkampung di SNBJ

Kelab elit Eropah dijangka ‘berkampung’ di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada pertengahan tahun depan sebagai simbolik perasmian padang baharu di SNBJ yang bakal siap pada April 2023.

Hasrat itu diluahkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan menyasarkan beberapa kelab gergasi namun, ia masih belum dimuktamadkan dan perbincangan lanjut akan diadakan kemudian.

“Insya-Allah, kita boleh jemput mana-mana kelab besar dari Eropah ke mari untuk bermain dengan pasukan kebangsaan atau mana-mana pasukan dalam Malaysia.

“Mana-mana kelab yang bersetuju, kita cari untuk datang lawan dengan pasukan kebangsaan atau kelab di Malaysia untuk kita rasmikan padang itu,” katanya ketika melawat dan menyerahkan tajaan menukar rumput di SNBJ kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Sabtu lalu.

Dalam lawatan itu, Tunku Ismail menjelaskan kerja-kerja penukaran padang yang ditajanya itu dijangka bermula pada Januari tahun depan dan ia mengambil masa selama empat bulan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.4 juta.

Ketika ini, SNBJ menggunakan rumput jenis Cowgrass dan ia akan digantikan dengan rumput Zeon Zoysia yang lebih berkualiti seperti digunakan di Stadium Sultan Ibrahim.

Sementara itu, cadangan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu disambut baik oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di mana pihaknya sedia memberi kerjasama penuh untuk merealisasikannya.

“Saya juga ingin khabarkan komitmen Duli Yang Maha Mulia Tunku, begitu tinggi sehinggakan belum kita mula proses menukar padang baharu, Tunku dah sampai tahap memikirkan perlu diadakan pelancaran dengan perlawanan diaturkan berdepan kelab besar,” kata Faizal.

sumber:- BH

Antara kelab yang dijangka bakal dibawa adalah kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) atau Serie A Itali.