Sukan

Sedia cabar senior

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Mungkin itu perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan keazaman tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya, Sharul Nazeem yang pertama kali berjaya dipanggil ke latihan skuad negara di bawah bimbingan Kim Pan-gon.

Jelas Sharul atau lebih dikenali dengan panggilan Afro itu, dia gembira apabila diberi peluang untuk bersama skuad negara yang ketika ini dalam persiapan untuk menghadapi aksi persahabatan di Singapura minggu depan.

Ujar pertahanan tengah Selangor FC itu lagi, biarpun ini adalah penampilan sulungnya, namun dia berazam untuk memperagakan prestasi terbaik sekaligus cuba mencabar tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

“Saya akan menuntut ilmu dengan pemain berpengalaman yang ada dan akan ‘fight’ untuk dapatkan tempat dalam 25 pemain bagi perlawanan persahabatan nanti,” katanya.

Berdasarkan senarai panggilan kali ini, Sharul pastinya berdepan cabaran sukar memandangkan beberapa tonggak lama seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, Shahrul Saad, Dominic Tan dan Dion Cools tidak memberi laluan mudah buatnya.

Skuad negara dijadual mengharungi dua aksi antarabangsa Tier 1 menentang Filipina dan Singapura pada 23 dan 26 Mac ini di Stadium Nasional Singapura.

Manakala satu lagi aksi persahabatan adalah bertemu kelab Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar, dengan ketiga-tiga aksi bakal dijadikan medan eksperimen oleh Pan-gon.

sumber:- HM

Ujian sebenar jurulatih dari Korea Selatan itu adalah pada Jun nanti, di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi aksi Kumpulan E pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.