Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah menyokong badan induk itu mengambil tindakan tegas ke atas pemain yang menolak panggilan menyertai skuad kebangsaan tanpa alasan yang kukuh.
Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan menjelaskan hukuman berat perlu dikenakan bagi mengelak perkara sama berulang dan ia boleh menjadi budaya tidak s!hat untuk bola sepak negara pada masa akan datang.
Bila pasukan negara panggil, pemain kena pergi, kecuali kalau betul-betul ada alasan kukuh, ada surat doktor atau sebagainya. Jadi memang patut FAM ambil tindakan tegas sebab nanti lepas ini orang (pemain) lain pun tak nak pergi (sertai skuad kebangsaan).
“Memang ia menjadi satu kesalahan apabila pemain menolak daripada menyertai skuad kebangsaan. Sekarang ini saya tak pasti bentuk hukuman itu bagaimana. Tapi dulu hukumannya berat juga, kalau tidak silap denda lebih RM20,000,” katanya.
Kamarudin berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali yang didakwa menolak pelawaan daripada jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon untuk menyertai kem latihan pusat bersama Harimau Malaya yang bermula Isnin lalu.
Beliau bagaimanapun berkata Rizal boleh terlepas daripada hukuman jika dia dapat mengemukakan surat kepada FAM beserta alasan yang kukuh mengapa dia terpaksa menolak pelawaan jurulatih skuad kebangsaan.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar sebelum ini menjelaskan pihaknya menunggu hingga tarikh kalendar FIFA iaitu 21 Mac ini sebelum mengambil apa-apa tindakan seterusnya dan jika Rizal hadir menyertai latihan sebelum tarikh itu, dia akan terlepas daripada hukuman.
Namun, Rizal ketika ini dilihat tiada jalan lain selain mengemukakan surat rasmi dan alasan kukuh kerana jika dia mahu membuat pusingan U dengan menyertai skuad kebangsaan, ia pasti memerlukan budi bicara pengurusan pasukan Harimau Malaya oleh kerana Pan Gon sudah memanggil pertahanan Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee sebagai ganti.
Malah, Pan Gon dalam kenyataan semalam juga mengesahkan pihaknya akan meneruskan kem latihan dengan 29 pemain dan tidak akan memanggil pemain gantian selepas Nazmi Faiz Mansor terpaksa diketepikan akibat kec3deraan pangkal paha.
Sementara itu, Sabah FC dalam kenyataan, kelmarin menjelaskan kelab itu tidak menyokong tindakan pemain menolak panggilan menyertai skuad kebangsaan.
sumber:- BH
Kelab itu menasihatkan Rizal supaya memberi penjelasan terperinci kepada FAM sambil menjelaskan pertahanan berusia 29 tahun itu sebelum ini memaklumkan mahu pulang ke Kedah untuk menguruskan hal peribadi keluarga.